Kilang mi kotor!
KUALA LUMPUR - Jijik dan kotor! Bukan sahaja lantai dan dinding sebuah kilang memproses mi di Segambut di sini berdaki hitam, malah terdapat tikus berkeliaran di tempat memproses makanan itu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan oleh Unit Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL turut menemukan najis tikus yang bersepah di bahagian pemprosesan kilang tersebut.
"Siasatan awal mendapati pihak kilang tidak melantik syarikat kawalan serangga perosak secara berjadual.
"Selain itu tandas premis berkenaan juga didapati kotor dan berbau," katanya.
Katanya, pemeriksaan turut mendapati pengendali makanan merupakan warga asing.
"Tiga pengendali makanan adalah warga asing dan tidak mempunyai suntikan tifoid.
"Ketika pemeriksaan dijalankan ketiga-tiga mereka tidak memakai penutup kepala dan apron semasa mengendalikan makanan," katanya.
Menurutnya, lokasi dan keadaan struktur premis didapati tidak sesuai dijadikan kilang pemprosesan makanan.
"Peralatan, kelengkapan serta mesin pemprosesan makanan dalam keadaan kotor dan usang.
"Tindakan Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuatkuasa 24 Jun 2020 telah dilaksanakan ke atas kilang tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!