Kes tidak meningkat sekiranya patuh SOP
PUTRAJAYA - Pertambahan sektor ekonomi termasuk majlis sosial yang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak akan meningkatkan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) sekiranya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia berada dalam keadaan terkawal.
"Kita membenarkan pertambahan sektor ekonomi kerana perlu mengimbangi antara nyawa dan mata pencarian," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebenaran mengadakan majlis sosial termasuk kenduri kahwin.
Menurutnya, virus sememangnya terdapat dalam kalangan komuniti dan hanya SOP serta penjarakkan sosial dapat menjadi 'vaksin' kepada Covid-19.
"Virus ini masih wujud dalam masyarakat dan untuk putuskan penularan, kita perlu amalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam," katanya.
Sementara itu, menjawab kebimbangan awam terhadap aktiviti di kolam renang, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan membuat pemantauan terhadap aktiviti tersebut.
"Isunya bukan air dalam kolam renang itu tetapi kesesakan.
"Sekiranya kita dapat mengawal kesesakan di kolam renang, mungkin kita akan pertimbangkan untuk pembukaan semula taman tema," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!