Berlaku ihsan dalam semua perkara

A
A
A

RASULULLAH SAW bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan ihsan (melakukan kebaikan) dalam semua perkara. Oleh itu apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan cara terbaik dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara terbaik. Dan hendaklah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan memberi keselesaan kepada haiwan sembelihannya." (Riwayat Muslim)

Hadis di atas menyatakan tentang kewajipan berlaku ihsan dalam semua perkara. Tingkat ihsan yang paling tinggi adalah ihsan kepada ALLAH. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW, baginda menjelaskan bahawa ihsan kepada ALLAH adalah dengan kita menyembah ALLAH seolah-olah kita melihat-Nya, sekiranya kita tidak melihat-Nya maka kita mesti yakin bahawa sesungguhnya ALLAH melihat kita.

Selain itu, kita juga perlu ihsan kepada makhluk ALLAH. Antara makhluk ALLAH yang paling hampir dengan kita ialah ibu bapa kita. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu yang amat dituntut dalam Islam. Malah menyakiti mereka dengan berkata 'ah' sekalipun adalah dilarang dan ia merupakan satu dosa.

Selain daripada ibu bapa, kita juga dituntut untuk berlaku ihsan atau berbuat baik kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terkandas dan juga hamba yang kamu miliki sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah An-Nisa' ayat 36.

Malah ihsan itu bukan sahaja terhad kepada manusia, tetapi merangkumi juga ihsan kepada binatang. Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW mengarahkan kita supaya menggunakan cara terbaik ketika membunuh. Dalam konteks pembunuhan ini, ia tidak terhad kepada cara membunuh manusia sama ada dalam peperangan atau selainnya yang diharuskan dalam Islam tetapi merangkumi pembunuhan binatang yang berbahaya.

Ihsan ketika membunuh ialah dengan mempercepatkan kematian binatang tersebut dan bukan dengan cara yang melambatkan kematiannya kerana itu akan menyeksanya seperti membakar.

Rasulullah SAW juga mengajar kita supaya berlaku ihsan ketika menyembelih binatang. Tidak lama lagi kita akan menyambut Eidul Adha atau Hari Raya Haji. Sudah menjadi satu kebiasaan, ibadah korban akan dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijah mengikut mana yang sesuai dengan kelapangan kita.

Berlaku ihsan dalam konteks sembelihan ialah dengan kita menajamkan pisau yang diguna untuk menyembelih. Ini kerana ketajaman pisau tersebut ketika dihiris ke bahagian yang wajib dipotong ketika menyembelih dapat mengurangkan kesakitan.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada menajamkan pisau, kita juga perlu memberikan keselesaan kepada binatang yang kita hendak korbankan. Antaranya ialah tidak melakukan sembelihan di hadapan binatang korban yang lain. Ini kerana perbuatan tersebut akan mendatangkan keresahan kepada binatang korban yang lain.

Ihsan juga perlu diamalkan dalam urusan jual beli. Ihsan dalam jual beli ialah penjual tidak mengenakan harga yang terlalu tinggi walaupun sebenarnya tiada had keuntungan dalam Islam. Sementara pembeli pula perlu mengelak daripada menawarkan harga yang menyebabkan kerugian kepada penjual.

Sekarang ini musim durian dan kita dapati harganya sangat tinggi. Jika pihak penjual memahami nasib sebahagian besar rakyat Malaysia yang terjejas pendapatannya ekoran daripada pandemik Covid-19, sewajarnya sikap ihsan ini diamalkan.

Mereka boleh meraih keuntungan tetapi jangan mengenepikan keberkatan dalam berjual beli. Begitu juga dengan barangan dan keperluan lain, sewajarnya penjual tidak menaikkan harga kerana mengejar keuntungan besar semata-mata.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama amalkan sifat ihsan dalam semua amalan seharian kita. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!