Kelonggaran kenduri kahwin tidak bawa mudarat
SHAH ALAM - Sebarang kelonggaran penganjuran majlis sosial yang diberikan kerajaan di bawah Perintah Kawalan Kerajaan Pemulihan (PKPP) termasuklah kenduri perkahwinan bermula 1 Julai ini adalah wajar dan diyakini tidak mendatangkan kemudaratan.
Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, dengan tahap kesembuhan pesakit koronavirus (Covid-19) di Malaysia kini melebihi 95 peratus dan jumlah pesakit yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hanya tinggal dua orang, keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat sepatutnya tidak mendatangkan isu besar.
Menurutnya, sehingga hari ini cara Malaysia mendepani pandemik Covid-19 semakin baik, bahkan kemampuan negara turut diiktiraf dunia.
“Berdasarkan statistik kes jangkitan Covid-19 semasa dalam kalangan orang tempatan yang hanya mencatatkan satu angka sejak kebelakangan ini, saya berpandangan kemungkinan Covid-19 akan kembali menular sekiranya kelonggaran PKPP diperkenalkan adalah sangat tipis.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada bagaimana kerajaan memastikan kawalan pintu sempadan negara dipantau rapi bagi mengelak kemunculan gelombang baharu Covid-19 disebabkan kluster luar negara,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Dr Malina berkata, di sebalik kebimbangan wujud gelombang baharu penularan Covid-19, rakyat tidak boleh menolak usaha kerajaan untuk memulihkan kembali ekonomi domestik yang teruk terjejas disebabkan pandemik tersebut.
“Mengenai pembukaan semula pintu sempadan negara, untuk peringkat awal, kerajaan mungkin boleh membenarkan mana-mana rakyat negara yang diklasifikasikan sebagai negara zon hijau dan berjaya mengawal penularan Covid-19 untuk memasuki negara.
“Bagi saya, inisiatif memastikan kawalan pintu sempadan negara dipantau rapi, selain pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat amalan penjarakkan sosial dan kebersihan diri dalam kalangan rakyat adalah kunci utama bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.
Semalam, kerajaan membenarkan majlis sosial seperti kenduri dan sambutan hari lahir dibenarkan bermula pada 1 Julai.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, kehadiran tetamu dihadkan kepada 250 orang pada satu-satu masa selama tiga hingga lima jam sahaja.
Selain kenduri dan sambutan hari lahir, antara majlis yang dibenarkan kerajaan untuk diadakan ialah pertunangan, perjumpaan (reunion) dan ulang tahun perkahwinan. Kebenaran turut diberikan bagi majlis bersifat keagamaan seperti tahlil, akikah dan doa selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!