Harapan pengundi Cameron Highlands

Kesesakan di sekitar kawasan Kea Farm sering berlaku dan semakin ketara pada hujung minggu atau waktu cuti. - Foto Sinar Harian oleh Sharifudin Abdul Rahim
Kesesakan di sekitar kawasan Kea Farm sering berlaku dan semakin ketara pada hujung minggu atau waktu cuti. - Foto Sinar Harian oleh Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Hujung minggu ini, Cameron Highlands bakal memilih wakil rakyatnya yang baharu.

Rata-rata pengundi akui mahukan kehidupan yang lebih baik termasuk dari segi infrastruktur dan keselesaan.

Rohaida Zainal Abidin, 50, dari Kampung Raja meminta wakil rakyat yang menang dapat menyelesaikan isu tanah di kampungnya.

"Sesiapa yang menang, saya minta pertimbangkan naik taraf kampung-kampung Melayu yang ada atau tanah-tanah setinggan ini, diberikan taraf geran, TOL atau apa yang mampu kami miliki.

"Sekarang kami tak mampu miliki sebab kami bukan kerja kerajaan yang ada slip gaji dan sebagainya. Kami kerja sendiri, ada yang mengasuh anak, berniaga kecil-kecilan, bekerja dengan kebun orang.

"Nak buat pinjaman tak ada dokumen. Jadi kami minta pertimbangkan masalah kami di Kampung Raja ini. Cuma dua orang yang ada geran di Kampung Raja ini. Sekarang kami duduk di atas tanah secara haram," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara Penduduk Kampung Tiga, Pos Terisu, Talib Embah Busu, 52, berkata masalah infrastruktur dan pekerjaan menjadi masalah utama di kawasannya.

Artikel Berkaitan:

Pushpa (kiri), Anne Chong. - Foto Sinar Harian oleh Sharifudin Abdul Rahim
Pushpa (kiri), Anne Chong. - Foto Sinar Harian oleh Sharifudin Abdul Rahim

"Kami minta bantu baiki jalan, rumah dan ekonomi di sini. Kalau siapa pun menang bantulah kami sebab memang di sini tak ada seorang pun dapat kerja kerajaan.

"Anak saya sendiri nk mohon jadi guru tadika tak layak. Anak-anak muda di sini kerja kontrak saja keluar dari sini. Tak ada langsung yang dapat kerja dengan jabatan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, peniaga di Kea Farm, Pushpa Ravanan, 41, berharap wakil rakyat baharu nanti memandang serius menaik taraf kawasan pasar tumpuan pelancong itu.

"Saya harap baiki tempat ini (Kea Farm) lebih cantik, lebih baik. Sebab boleh tarik pelancong datang. Jangan pindahkan tempat ini tapi naiktaraf sebab sekarang saya dimaklumkan tempat ini akan ditukar.

"Ini kawasan popular, kenapa mahu tukar? Sehari beribu pelancong datang, kenapa nak tukar? Kalau tempat ini cantik, mesti lagi ramai pelancong datang," katanya yang telah berniaga di situ sejak 15 tahun lalu.

Dalam pada itu, pengundi berasal dari Brinchang, Anne Chong yang juga peniaga di Kea Farm mahukan jalan di kawasan tersebut dinaik taraf.

"Saya minta besarkan jalan di sini, pelancong susah parkir kenderaan. Parkir itu penting sebab menjejaskan kehadiran pelancong.

"Mereka juga banyak 'complaint'. Bas pun tak ada tempat parkir. Sekarang sudah dua tahun bisnes agak kurang memberangsangkan, orang ramai datang pun tapi mereka tak beli barang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!