1MDB: 24 Julai keputusan lucut hak wang RM100,000 Kasitah
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Julai ini untuk keputusan permohonan pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang RM100,000 daripada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pada pendengaran permohonan itu hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Haslinie Hashim berhujah bahawa walaupun wang itu digunakan responden (Kasitah) namun mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah kewangan mengikut Seksyen 59 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, iaitu mengarahkan responden untuk membayar semula amaun berkenaan.
"Walaupun responden berkata, wang berkenaan kononnya digunakan untuk tujuan Pilihan Raya Umum 2013, tetapi hakikatnya wang itu diperoleh daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan diakui sendiri responden," katanya.
Peguam Sasila Basri yang mewakili Kasitah berkata, walaupun anak guamnya mengaku menerima wang berkenaan daripada Najib pada 2012, tetapi ia adalah untuk tujuan kerja-kerja Pilihan Raya Umum ke-13 yang diadakan pada 5 Mei, 2013.
"Yang Arif, anak guam saya adalah pesara kerajaan dan bekas menteri dalam kabinet Malaysia. Akaun bank berkenaan wujud lagi awal untuk tujuan kemasukan wang pencen sebaik sahaja beliau pencen pada 2004. Ia bukan dibuka untuk aktiviti haram, aktiviti haram harus dibuktikan terdahulu.
"Wang RM100,000 itu diterima pada 2012, disita SPRM pada 2018 tetapi anak guam saya menerima wang pencen lebih RM100,000 dalam tempoh setahun. Wang yang disita adalah wang milik beliau," katanya.
Sehubungan itu, katanya, permohonan pihak pendakwaan harus ditolak kerana ia memprejudis anak guam saya kerana wang itu milik beliau," katanya.
Menurut Sasila, bukti kemasukan wang pencen turut dieksibitkan bagi menunjukkan bahawa wang itu adalah milik responden.
Pada Jun tahun lalu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, permohonan perlucuthakan sivil difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) selepas agensi itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!