Lemas punca lelaki warga Thailand ditemui mati dalam parit
KUALA SELANGOR - Polis mengesahkan seorang lelaki warga Thailand yang ditemui mati dalam parit dipercayai lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Parit Omar Kampung Bukit Kuching di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mangsa, Masaifu Taleh, 18, yang bekerja di sebuah restoran di Kampung Bukit Kuching ditemui orang awam pada jam 12.45 tengah hari.
Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat keluar dari restoran dengan menunggang motosikal setelah selesai bekerja pada malam kejadian.
"Waris memaklumkan mangsa mengalami sakit sawan dan pernah beberapa kali diserang penyakit itu ketika sedang bekerja," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dalam parit
Beliau berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor membantu mengangkat mayat mangsa dari parit di tempat kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga Thailand ditemui mati dalam parit di Jalan Parit Omar, Kampung Bukit Kuching di sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.08 petang bagi kerja-kerja mengangkat mayat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!