Sokongan Tun M kepada Tengku Zainul tak gugat pengundi BN
PEKAN - Sokongan secara terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin tidak mengganggu sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebaliknya tindakan itu membuatkan BN terus berkempen mendekati rakyat bagi memastikan keseluruhan penduduk di DUN Chini dapat disantuni jentera parti dari BN dan Pas menerusi Muafakat Nasional.
Menurutnya, sokongan yang dibuat melalui sebuah video khas di Facebook milik bekas Perdana Menteri itu langsung tidak memberi keyakinan kepada pengundi di Chini untuk memilih calon Bebas.
"Saya percaya (sokongan) ini tidak akan memberi keyakinan kepada pengundi di Chini. Saya yakin kerana kawasan ini mereka begitu sebati dengan BN.
"Seingat saya semasa kempen di PRK Cameron (Highlands) pun beliau (Tun Mahathir) ada turun. Namun majoriti kepada BN tetap meningkat.
"Tetapi kali ini tidak turun dan cuma memuatkan video sahaja untuk sokong calon Bebas. Jadi, saya percaya tidak ramai pengundi akan menyebelahi calon Bebas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Orang Asli dan Ziarah Kasih di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga hari ini.
Hadir sama, calon BN, Mohd Shahrim Md Zain Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Katanya, calon dan parti adalah dua faktor penting yang boleh memberi kemenangan dalam pilihan raya dan sekiranya calon dikemukakan itu baik, sesuai serta mempunyai parti ia pasti menjadi pilihan pengundi.
"Jadi, pengundi lebih cenderung memilih pemimpin yang berparti dan semestinya calon mewakili parti BN adalah pilihan yang tepat kepada pengundi.
"Sebab pada akhirnya kita patut tanya pada diri, kita mahu seperti mana. Adakah calon yang boleh membela masa depan dan membantu rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, rakyat juga dilihat mula sedar calon Bebas tidak akan membawa kesan kepada kehidupan mereka.
"Kalau kita undi calon Bebas, mereka tidak boleh memberi apa-apa pulangan kepada rakyat.
"Sebab itu saya yakin dan percaya mereka akan menyokong calon BN. Apatah lagi selama ini pun kawasan Chini sebati dengan BN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!