Polis tahan lelaki memiliki senapang angin
JEMPOL - Polis menahan seorang anak peneroka Felda Lui Timur di sini kerana disyaki menyimpan dan memiliki senapang angin buatan sendiri pada petang Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 45 tahun itu membeli senapang berkenaan daripada seorang lelaki di Triang, Pahang dengan harga RM100.
"Suspek menggunakan senapang tersebut untuk menembak haiwan perosak di dalam dusun belakang rumahnya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor.
Mengulas lanjut, Mohd Khairiel berkata, susulan itu, polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri, satu bekas tin berisi 34 butir bebola besi, satu buah besi valve kepala angin, satu pam angin dan telefon bimbit milik suspek.
"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini
untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!