Perlis benar ruang masjid dibuka sepenuhnya

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
A
A
A

ALOR SETAR - Perlis membenarkan ruangan solat di masjid dibuka sepenuhnya di negeri ini bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa 27 Jun ini.

Ia termasuklah kebenaran membuka pekarangan masjid sekiranya ruangan untuk mendirikan solat jemaah tidak mencukupi dengan pelaksanaan SOP penjarakan sosial yang dilonggarkan kepada jarak satu meter atas perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memberi perkenan berhubung perkara itu setelah mengambil kira keadaan dan suasana terkini fasa pemulihan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan pengekalan 79 hari tanpa penambahan kes positif baharu sejak 7 April lepas.

"Pendaftaran penjarakan sosial akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid di pintu pagar utama masjid.

"Kuliah Maghrib dan Subuh dibenarkan dilaksanakan di masjid dengan pengekalan SOP keselamatan seperti memakai topeng muka, kerap mencuci tangan dan melaksanakan penjarakan sosial," titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Sebelum ini, Perlis hanya membenarkan kehadiran jemaah mengikut keluasan masjid dengan penjarakan dua meter berbanding kelonggaran diberi ketika ini apabila ruang masjid dibuka sepenuhnya dengan penjarakan satu meter.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pelaksanaan ibadat di surau-surau seluruh Perlis belum dibenarkan memandangkan terdapat keperluan untuk mematuhi beberapa SOP keselamatan.

Baginda bertitah, masyarakat digalakkan melaksanakan ibadat di masjid di seluruh Perlis dan kebenaran pada masa akan datang akan dipertimbangkan dengan mendapatkan kelulusan majlis.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, titah baginda, surau di premis sekolah dibenarkan dibuka tanpa melibatkan pihak luar dengan tanggungjawab dan pemantauan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

"Selain itu, ibadah korban adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP khas yang bakal ditetapkan dan solat Aidiladha juga dibenarkan untuk dilaksanakan dengan tertakluk kepada peraturan ditetapkan," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!