Perjanjian damai Israel-Jordan mungkin terbatal
RAMALLAH - Rancangan Israel untuk menambahkan bilangan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat akan menjejaskan perjanjian damainya dengan Jordan.
Perjanjian damai itu ditandatangani pada tahun 1994 iaitu setahun selepas termeterainya Perjanjian Oslo antara Israel dengan Palestin tetapi telah dibantah oleh majoriti penduduk Jordan.
Bagaimanapun, menurut portal berita BBC pada 25 Jun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tindakan penambahan penempatan Yahudi itu dilakukan ekoran pelan damai yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Januari lalu.
Portal berita Al-Jazeera semalam melaporkan, mulai 1 Julai ini, kerajaan Israel pimpinan Netanyahu akan mula melaksanakan pelan tersebut.
Tebing Barat terletak di antara Israel dan Jordan. Ia berada di bawah pemerintahan pentadbiran Jordan sehingga Israel mendudukinya pada tahun 1967 melalui Perang Enam Hari.
Berikutan peperangan itu, ratusan ribu penduduk Palestin melarikan diri ke Jordan untuk menyertai sejumlah lagi penduduk yang mahu mendapatkan taraf pelarian setelah penubuhan negara Israel pada tahun 1948.
Penduduk Jordan yang berketurunan Palestin dianggarkan lebih separuh daripada 10 juta penduduk Jordan.
Sejumlah 2.2 juta penduduk Palestin yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendapat taraf sebagai pelarian.
Namun, menurut laporan portal BBC, tindakan penambahan penempatan haram Yahudi itu akan menyebabkan kehilangan tanah air untuk masa depan sebuah negara Palestin.
Kebanyakan masyarakat global melihat perluasan bilangan penempatan haram itu meningkatkan lagi kebimbangan mereka tentang pencabulan undang-udang antarabangsa.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, rancangan untuk menambahkan penempatan haram Yahudi kepada 30 peratus di Tebing Barat yang menjadi perbalahan akan menjejaskan lagi kestabilan wilayah tersebut.
PBB, menurut portal berita Guardian pada 24 Jun lalu pula turut melaporkan Guterres sebagai berkata, badan dunia itu sebelum ini secara konsisten telah membawa mesej tersebut.
Israel yang telah menduduki Tebing Barat sejak tahun 1967 menjadi tempat tnggal kepada kira-kira 500,000 penduduk Israel.
Namun, ia tidak pernah mendakwa secara rasmi bahawa wilayah itu sebagai sebahagian daripada Israel berikutan bantahan masyarakat antarabangsa.
Penduduk Palestin yang mendapat sokongan masyarakat antarabangsa pula mahu menjadikan wilayah tersebut sebagai tanah air mwereka.
Berikutan perkembangan terbaru itu, Jordan boleh membatalkan perjanjian damai dengan Israel atau membuang beberapa klausa tertentu berkaitan dengan keselamatan dan kerjasama perisikan.
"Jordan mesti menghantar satu mesej yang tegas kepada Israel dan AS dengan menyatakan jika anda (Israel) mengambil laluan itu (menambahkan bilangan penempatan haram), kami (Jordan) akan membatalkan perjanjian damai," kata Oraib Rintawi daripada Pusat Kajian politik Al-Quds kepada agensi berita AFP.
Bekas Menteri Penerangan Jordan, Mohammed al-Momani pula berkata, rancangan Israel untuk menambahkan bilangan penempatan haram itu termasuk di Lembah Jordan yang terletak di sempadan Jordan jelas merupakan satu pencabulan terhadap perjanjian damai.
Dalam pada itu, Raja Jordan, Raja Abdullah II turut berkongsi pandangan seperti itu dan berulang kali bertitah, tidak ada alternatif lain untuk penubuhan sebuah negara Palestin.
Baginda juga bertitah, tidak akan ada penempatan tetap pelarian Palestin di negara-negara Arab.
Di Amman, rakyat Jordan mengulangi pandangan Raja Abdullah II dan melahirkan kebimbangan mereka.
"Rancangan penempatan (Israel) itu adalah bahaya kepada Jordan dan Palestin," kata seorang peniaga, Abdullah Musa, 44, yang menjual peralatan elektrik.
"Tidak ada apa yang akan tinggal untuk penubuhan sebuah negara Palestin," tambahnya.
Sementara itu, seorang jurugambar, Luay Malhass berkata, puluhan ribu penduduk Palestin akan dipaksa meninggalkan Tebing Barat berikutan rancangan Israel itu.
"Penambahan (bilangan penempatan haram Yahudi) akan mencetuskan dilema untuk Jordan dengan memaksanya memilih untuk alternatif penubuhan sebuah negara untuk Palestin atau penempatan tetap mereka," kata Malhass. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!