UMNO diramal jadi parti berpengaruh

UMNO diramal mendahului PN dan berpengaruh dalam pemerintahan negara.
UMNO diramal mendahului PN dan berpengaruh dalam pemerintahan negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan UMNO bakal mendominasi Perikatan Nasional (PN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat dan muncul sebagai parti paling berpengaruh sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ia berdasarkan kedudukan parti itu yang lebih teguh kerana mendapat sokongan Pas dalam Muafakat Nasional dan menjadi tonggak kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain faktor itu, mereka juga melihat wujud kefahaman terhadap realiti politik dalam gesaan pemimpin UMNO agar Muhyiddin membubarkan segera Parlimen selepas mengambil kira kepentingan rakyat dan ekonomi negara ketika berhadapan cabaran mengharungi pasca-Covid-19.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, kini pelbagai spekulasi timbul disebabkan pergolakan politik tanah air yang menggambarkan kerajaan tidak kukuh dan menjejaskan ekonomi negara.

“Kerajaan PN sekarang tidak kukuh kerana pelbagai spekulasi termasuk akan tumbang dan menimbulkan keraguan rakyat. Spekulasi seperti ini hanya boleh diselesaikan dengan mengadakan PRU.

“Pemimpin UMNO sudah melihat, menilai perkembangan politik semasa itu dan jalan terbaik bagi mereka adalah mengadakan PRU15 kerana itu sahaja cara untuk menyelesaikan krisis politik. Krisis itu hanya dapat ditamatkan secara tuntas jika PRU diadakan.

“Jika tidak, ketidakstabilan terus berlaku dan ini tidak baik untuk kerajaan, rakyat dan ekonomi negara. Keadaan itu juga akan memberi kesan langsung kepada pelabur asing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Beliau mengulas gesaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta Perdana Menteri untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dalam kenyataannya menyifatkan situasi ketidakstabilan politik yang dialami kini tidak pernah dihadapi Malaysia sejak negara merdeka.

Ambil kesempatan

Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, jika dilihat dari sudut lain, UMNO mungkin mengambil peluang daripada kelemahan Pakatan Harapan (PH) yang terjerumus dalam pergolakan yang tidak pernah selesai.

“Ini akan memberikan keuntungan kepada PN khususnya UMNO untuk memenangi lebih banyak kerusi. Situasi itu membuatkan UMNO mendominasi PN dan menjadi pendahulu kepimpinan negara.

“Gandingan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional akan memberikan keuntungan kepada PN. Jadi elok diingatkan bahawa banyak kerusi yang akan mereka menangi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan gandingan Muafakat Nasional masih perlu mendapat sokongan parti dari Sarawak dan Sabah sekiranya mahu mengukuhkan kedudukan mereka dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang turut sependapat dengan Dr Jeniri berkata, gandingan UMNO dan Pas akan mendapat kelebihan berbanding parti dalam PH.

No Image Caption

“Saya rasa pemimpin UMNO merasakan bahawa mereka akan peroleh kemenangan lebih besar sekiranya PRU diadakan ketika PH gagal menyelesaikan isu berkaitan calon Perdana Menteri mereka,” katanya.

Dr Mohd Azizuddin juga meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen kerana BN kini bersama Pas dalam Muafakat Nasional berbanding yang diperoleh ketika Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat ini.

“Ada juga kerusi yang dimenangi oleh ahli Parlimen PH pada PRU14 hasil daripada perpecahan undi akibat pertembungan tiga penjuru. Melalui gabungan BN dan Pas sekarang, mereka berpendapat ada peluang lebih baik untuk menang kali ini,” kata Dr Azizuddin.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berkata, berdasarkan keputusan PRU14, Pas dan UMNO mampu meraih lebih 30 kerusi pada pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka terus bekerjasama.

Najib berkata demikian ketika berucap pada program ‘UMNO dan Pas Demi Mempertahankan Islam dan Kuasa Melayu’ yang diadakan di Wisma UMNO di Langkawi tidak lama dahulu selepas kedua-dua parti berkenaan bergabung dalam Muafakat Nasional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!