Selangor sasar lima aksi pemanas badan

Sathianathan (kiri) percaya Selangor masih mampu mencabar kejuaraan musim ini. Foto: FA Selangor
Sathianathan (kiri) percaya Selangor masih mampu mencabar kejuaraan musim ini. Foto: FA Selangor
A
A
A

Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan mahu sekurang-kurangnya lima perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan buat The Red Giants jika saingan Liga Super bersambung pada awal September depan.

Namun, sekiranya kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang ditangguhkan sejak Mac lalu susulan pandemik Covid-19 mendapat kebenaran kembali bersambung lebih awal, jurulatih berusia 62 tahun itu memerlukan lebih daripada lima perlawanan.

Bagaimanapun, Sathianathan yang telah membimbing Selangor selama dua musim mengakui hasratnya mengadakan perlawanan persahabatan itu mungkin berdepan kekangan.

“Kalau katakan (liga) dipercepatkan, saya akan adakan tujuh perlawanan persahabatan. Tetapi kita ada satu permasalahan. Mana nak cari pasukan...pasukan yang kita dah lawan adalah Kedah, Perak dan Terengganu...semua jauh.

“Perjalanan untuk ke sana macam dulu dah tak boleh, sekarang nak naik bas pun dah tak boleh bersama..kena ada dua bas. Ini yang kita kena fikir dan cari penyelesaian,” katanya.

Selangor kini berada di kedudukan kelima, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bergelut di permulaan musim apabila sekadar mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam empat aksi pertama.

Bagaimanapun, Sathianathan percaya The Red Giants masih mampu mencabar kejuaraan musim ini di sebalik keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubah format jumlah perlawanan daripada keseluruhan 22 aksi menjadi 11 perlawanan.

“Mana-mana pasukan ada peluang. Kalau tengok daripada kedudukan carta, JDT di atas, mereka adalah pasukan yang baik. Kita dibezakan lima mata dengan mereka (JDT) dan beza kita dengan Perak di tempat kedua ialah tiga mata. Apa-apa boleh berlaku dalam tujuh perlawanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai skuad Selangor kembali berlatih selepas berehat lebih tiga bulan, Sathianathan berkata, dia tidak berdepan sebarang masalah sejak latihan bermula Isnin lalu meskipun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Biasanya 14 hari pertama latihan saya fokus kepada berlari untuk bina ketahanan stamina. Untuk saya, perkara ini dah biasa cuma bezanya sekarang pemain perlu berlari dengan jarak tiga meter antara pemain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!