Harumanis subur di Kelantan
PASIR MAS - Seorang pembantu makmal berjaya 'melanggar sumpahan' apabila tanaman mangga harumanis yang dikatanya hanya boleh hidup dan berbuah di Perlis sahaja tumbuh subur di ladang miliknya di Kampung Nibong, Tok Uban di sini.
Menariknya, mangga tersebut bukan sahaja hidup subur dan berbuah lebat malah rasanya cukup manis 'leting' sebagaimana tempat asal buah tersebut.
Situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan rakyat Perlis terkejut dengan perkembangan tersebut dan perkara berkenaan didedahkan sendiri oleh
Nor Mazalan Ab Ghafar, 52, pengusaha harumanis di negeri ini.
Nor Mazalan berkata, dia sendiri tidak menyangka harumanis yang diusahakan di atas tanah seluas satu ekar itu hidup subur sekaligus menyangkal dakwaan tanaman tersebut hanya boleh tumbuh di Perlis sahaja.
"Saya mula tanam harum manis pada 2012 dan kemudian berbuah pada tahun 2015. Berbekalkan minat mendalam pada bidang pertanian saya mengambil keputusan untuk berguru dengan keluarga isteri di Perlis mengusahakan tanaman harumanis dengan bersungguh-sungguh.
"Hasil pemerhatian dan kajian yang dilakukan secara bersendirian. Alhamdulillah harumanis tumbuh subur di Kelantan dan kejayaan ini membuktikan ia boleh ditanam di mana sahaja jika diusahakan dengan kaedah yang betul," katanya.
Menurutnya, apabila harum manis itu berbuah dan masak dia telah membawa pulang buah tersebut ke Perlis untuk dirasai oleh keluarga isteri.
Katanya, keluarga isterinya itu terkejut apabila bau harum dan rasa manis pada buah itu sama seperti di Perlis.
Nor Mazalan berkata, projek tanaman harumanis yang diusahakannya itu merupakan aktiviti riadah pada waktu petang selepas pulang dari sekolah selain mengisi masa lapang.
Katanya, dia sama sekali tidak menyangka tanaman yang diusahakan secara sampingan itu mampu menjana pendapatan tambahan.
"Harumanis yang saya usahakan ini mampu berbuah sebanyak tiga kali dalam setahun.
"Anggaran berat buah ini boleh mencapai berat sekitar 750 gram dan ia dijual dengan harga RM20 sekilogram," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!