'Pertemuan atas undangan PM'

Gambar pertemuan Sheikh Umar dengan Muhyiddin pada 15 Jun lalu di Bangunan Perdana Putra.
Gambar pertemuan Sheikh Umar dengan Muhyiddin pada 15 Jun lalu di Bangunan Perdana Putra.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali tampil menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat atas jemputan Perdana Menteri itu.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, pertemuan berkenaan dalam pengetahuan partinya, DAP, sekali gus menjawab tanda tanya beberapa pihak sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan, pertemuan kedua-duanya itu dilakukan pada 15 Jun lalu di Bangunan Perdana Putra.

“Sebagai ahli DAP, pertemuan saya dengan Perdana Menteri adalah dalam pengetahuan pimpinan parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan tujuan pertemuannya dengan Perdana Menteri.

Terdahulu, pertemuan antara kedua-dua pemimpin dari Johor itu menimbulkan persoalan dan juga spekulasi bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menambah kerusinya di Johor selepas gambar Sheikh Umar bertemu Muhyiddin dimuat naik seorang pengguna Twitter dengan nama 'Tangga Perdana Putra/ TanggaPMO’.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) yang kini menerajui kerajaan negeri dengan 29 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

PN terdiri daripada UMNO (14), Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu) dan Bebas (satu) sementara PH pula terdiri daripada DAP (14), Parti Amanah Negara (sembilan) dan Parti Keadilan Rakyat (empat).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!