Penang Best Classic White Coffee ke pasaran luar negara
PRODUK kopi pra-campuran tempatan BertamBest Penang Best Classic White Coffee bukan lagi jenama asing bagi penggemar kopi di negara ini.
Produk keluaran syarikat BertamBest Sdn Bhd dimiliki oleh usahawan Bumiputera dari Pulau Pinang ini pastinya mempunyai cita rasa tersendiri namun setanding dengan jenama kopi terkenal lain di pasaran.
Walaupun terpaksa berdepan dengan saingan hebat dalam mengukuhkan jenama Penang Best Classic White Coffee, pemilik BertamBest, Mohd Zaki Zakaria, 55, mengakui perlu menjalankan beberapa kali proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti.
Menyedari minuman kopi semakin menjadi pilihan dan mempunyai peminatnya tersendiri, BertamBest mengeluarkan beberapa variasi kopi putih berperisa dan beraroma kacang hazel selain mengeluarkan kopi putih berperisa durian yang kini mendapat permintaan menggalakkan.
Bermula pada tahun 2006, lulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat daripada Universiti Sains Malaysia (USM) ini bermula dengan mengeluarkan produk berasaskan susu kambing untuk pelanggan-pelanggan OEM dan mula mengeluarkan produk jenama sendiri iaitu BertamBest pada awal tahun 2016.
Kini BertamBest telah mempunyai sebanyak 16 SKU (jenis) iaitu pelbagai variasi produk kopi pra-campuran, susu kambing, koko pra-campuran dan teh.
“Alhamdulillah, selepas 14 tahun beroperasi, produk BertamBest boleh didapati di beberapa pasar raya besar seperti di rangkaian Sunshine di negeri ini.
"Produk kopi pra-campuran ini juga telah menembusi pasaran Singapura dengan penghantaran 30,000 pek setiap bulan sejak Januari tahun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya di Taman Bertam Permai, Pulau Pinang baru-baru ini.
Selain Singapura, produk BertamBest juga mendapat permintaan menggalakkan di Brunei dan bakal menerokai pasaran negara-negara lain seperti Filipina, Thailand, Bangladesh dan China.
BertamBest telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jakim selain Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).
Syarikat itu kini dalam usaha meningkatkan lagi kualiti penarafan Standard HACCP sebagai komitmen BertamBest untuk menghasilkan produk yang selamat dan berkualiti tinggi.
Bagi Mohd Zaki, bantuan dan dorongan yang diberikan pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Matrade menjadikan jenama BertamBest lebih kukuh dalam meneruskan legasi perniagaan walaupun pada waktu ini banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan saat getir termasuk gulung tikar akibat pandemik Koronavirus (Covid-19).
Walaupun turut terkesan, namun ujian berat itu tidak mematahkan semangatnya untuk kembali bangun dalam memastikan syarikatnya terus bertahan selain mahu kebajikan semua pekerja terbela.
Beliau mengatur strategi untuk terus mengembangkan jenama dan produk keluaran BertamBest dengan memasarkan produk melalui medium e-dagang seperti Shopee, Lazada, Agrobazaar Online, Ourshop dan Hayib.com bagi memudahkan pelanggan mendapatkan produk melalui pembelian dalam talian.
BertamBest turut menawarkan kepada mereka yang ingin mengeluarkan produk kopi, susu, koko mahupun teh pra-campuran jenama sendiri supaya menghubunginya untuk sesi perbincangan.
Bagi mereka yang berminat menjadi ejen jualan/pengedar produk BertamBest, sila hubungi talian 016-658 8058/019-617 0515 atau e-mail ke: sales@bertambest. com.
Ikuti Facebook Bertambest dan Instagram bertambest atau laman sesawang www.bertambest.com untuk mengetahui aktiviti BertamBest.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!