Dua rakan jual dadah ditahan
BUTTERWORTH - Kegiatan dua rakan dipercayai menjual dadah di sekitar Kepala Batas terbongkar apabila mereka ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek berumur 38 dan 36 tahun yang bekerja sendiri merupakan lelaki tempatan dan warga Myanmar ditahan dalam Ops Tapis di Kampung Aman, Kepala Batas pada jam 1.30 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi serbuan telah menjumpai kira-kira 59 gram heroin dan 5.2 gram syabu.
"Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk dijual di kawasan Kepala Batas.
"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,500," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, kedua-dua suspek yang juga positif morfin dan syabu direman tujuh hari sehingga 2 Julai ini untuk siasatan lanjut.
Noorzainy berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!