Kes rogol Paul Yong tangguh lagi

Paul Yong
Paul Yong
A
A
A

IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini sekali lagi menetapkan 16 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula bagi perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim, Harith Sham Mohamed Yasin membuat ketetapan itu sementara menunggu keputusan rayuan yang dibuat pihak pembelaan di Mahkamah Persekutuan bagi memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Kes hari ini dijalankan tanpa kehadiran Paul Yong dan hanya diwakili peguam, Farhan Sapian.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman memohon tarikh perbicaraan ditetapkan selepas ditangguh beberapa kali sebelum ini.

“Memohon tarikh bicara kerana kes telah tangguh beberapa kali dan kes ini ia adalah di bawah kod kakitangan kerajaan.

“Sepatutnya perbicaraan dibuat dalam tempoh masa enam bulan tetapi kini telah hampir setahun, bicara masih belum berjalan.

"Mangsa juga kini masih dalam perlindungan,” katanya.

Bagaimanapun, hakim bersetuju menetapkan tarikh sebutan terlebih dahulu sebelum tarikh perbicaraan diputuskan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Farhan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, hakim menetapkan tarikh baharu sementara menunggu Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh bicara rayuan.

“Kami masih menunggu pihak Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh bicara di mahkamah itu.

“Hakim (Mahkamah Sesyen) menetapkan tarikh sebutan terlebih dahulu sementara menunggu Mahkamah Persekutuan sama ada tarikh bicara akan ditetapkan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, mahkamah sama menetapkan prosiding perbicaraan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu selama lima hari bermula 10 sehingga 14 Februari lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Paul Yong untuk memindahkan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong, 50, mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya, warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!