MELAKA TENGAH - Seorang pekerja kilang dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka di sini, hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelaki dengan membuang mayat bayi tersebut, awal bulan ini. Majistret Teoh Shu Yee memerintahkan Muhammad Faiz Zakariyah, 25, menjalani hukuman itu bermula hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu. Shu Yee pada penghakimannya menegaskan, isu pembuangan bayi merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan hukuman yang diberikan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat luar. Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Faiz bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyembunyikan kelahiran seorang bayi berusia lebih kurang tujuh bulan dengan membuang mayat ke dalam lubang kumbahan. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di belakang rumah sewa keluarganya di Kampung Kandang kira-kira 12.30 pagi, pada 7 Jun 2020. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku menerima mayat bayi berbalut plastik daripada teman wanitanya sebelum membuangnya ke dalam lubang kumbahan di belakang rumah sewa milik keluarganya di Kampung Kandang. Hasil siasatan pihak polis dan pasukan forensik Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Melaka menemui dua cebisan daging dipercayai kaki bayi, dua cebisan tangan bayi dan beberapa cebisan kulit bayi. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal yang memohon hukuman berat berbentuk pemenjaraan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Hakim kemudian menjatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,500 serta tambahan sebulan lagi penjara sekiranya gagal melunaskan jumlah denda.ARTIKEL BERKAITAN: Tergamak buang mayat bayi dalam salur najis! Sinar Harian Selasa lalu, menyiarkan mayat seorang bayi lelaki ditemukan di dalam lubang najis di sebuah rumah di Kampung Kandang. Mayat bayi malang berusia kurang tujuh bulan dipercayai telah meninggal dunia ketika dilahirkan di sebuah rumah sewa di Taman Perkota Bukit Baru.