ASEAN perlu pastikan vaksin Covid-19 pada harga berpatutan

ASEAN perlu memastikan vaksin Covid-19, apabila sudah ada kelak, adalah pada harga berpatutan, boleh diakses dan dikongsi sama rata untuk semua. Foto: 123RF
ASEAN perlu memastikan vaksin Covid-19, apabila sudah ada kelak, adalah pada harga berpatutan, boleh diakses dan dikongsi sama rata untuk semua. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN perlu memastikan vaksin Covid-19, apabila sudah ada kelak, adalah pada harga berpatutan, boleh diakses dan dikongsi sama rata untuk semua.

Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ASEAN bertanggungjawab melindungi populasinya daripada ancaman Covid-19 yang boleh membawa maut dan vaksin amat diperlukan.

"Walaupun kemajuan dalam pembangunan dan penghasilan vaksin dan ubat antiviral amat menggalakkan, kita perlu memastikan apabila tiba masanya kelak, vaksin itu perlu pada harga berpatutan, boleh diakses dan dikongsi sama rata untuk semua," katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang berlangsung secara maya dan dihoskan Vietnam.

Muhyiddin menyertai sidang kemuncak secara maya itu dari Putrajaya.

Beliau berkata sehingga semalam, lebih 138,000 kes Covid-19 dilaporkan di ASEAN, dengan mencatatkan lebih 4,000 kematian.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menghargai inisiatif diambil Vietnam, selaku pengerusi ASEAN, mengadakan Sidang Kemuncak hari ini melalui persidangan video disebabkan pandemik Covid-19.

"Ini merupakan saat bersejarah bagi kami negara anggota ASEAN. Perbincangan kami hari ini membuktikan iltizam kami untuk memastikan ASEAN terus berusaha membina komuniti yang bersatu dan responsif, selaras dengan tema kepengerusian Vietnam," katanya.

Malaysia yakin di bawah kepimpinan Vietnam yang berwibawa, ASEAN akan dapat mencapai hasil signifikan pada tahun ini, walaupun berdepan dengan keadaan tidak pernah berlaku sebelum ini yang menyelubungi Covid-19, katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata sejak penubuhannya lebih setengah abad lepas, ASEAN telah berusaha memastikan rantau ini terus berkembang maju, makmur dan menjalin hubungan dan kerjasama dengan dunia.

"Lebih-lebih lagi pada masa sekarang, kita perlu menunjukkan pada dunia yang dipenuhi kebencian dan pengasingan, penuh dengan tangisan dan penderitaan, bahawa cara ASEAN yang melangkaui lebih daripada pemimpin berpegang tangan dalam foto berhasil," katanya.

"Saya beri jaminan, komitmen Malaysia untuk memperjuangkan kepentingan bersama kita menerusi Komuniti ASEAN yang berorientasikan rakyat dan berpaksikan rakyat akan menjadi keutamaan kami dalam menentukan masa depan bersama yang kita boleh banggakan," kata Muhyiddin.

Diasaskan pada 1967, ASEAN dianggotai 10 negara – Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!