Kerajaan Perak nafi dakwaan penduduk The Dales
IPOH - Kerja-kerja pembersihan di tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) bukan bertujuan mengeluarkan bahan mineral seperti yang didakwa penduduk Taman Panorama Tambun Perdana (The Dales) di sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, siasatan kerajaan negeri mendapati kerja-kerja tersebut merupakan pemasangan pagar di sempadan tanah yang diselenggarakan oleh Maipk bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan Negeri Perak menafikan dakwaan wakil penduduk seperti mana dilaporkan akhbar tempatan sebelum ini.
“Susulan dakwaan tersebut, pihak Maipk bersama Ketua Balai Polis Tambun dan wakil Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh telah membuat siasatan di lapangan dan mendapati tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan mineral atau tanah merah yang dibawa keluar dari tapak berkenaan.
“Siasatan itu juga mendapati hanya terdapat kerja-kerja awal pemasangan pagar di tanah wakaf yang diselenggara oleh Maipk.
“Kerja-kerja pemasangan pagar tersebut juga hanya tertumpu di sempadan kawasan perumahan dan tidak melibatkan sempadan tanah di kawasan kaki Gunung Panjang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pada penghujung 2019, pemantauan Maipk mendapati tanah tersebut telah diteroka dengan tanaman durian dan pokok buah-buahan tanpa kebenaran.
Pada 11 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan kebimbangan penduduk Panorama Tambun Perdana (The Dales) apabila tanah seluas 3.2 hektar di kaki bukit Gunung Panjang berhampiran kediaman mereka diteroka buat kali ketiga sejak 2011.
Kerja-kerja yang dilakukan pada 4 Jun lalu itu didakwa mencurigakan apabila kerja-kerja pembersihan kawasan itu dilakukan tidak mengikut sempadan rizab tanah tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk bimbang tanah rizab kembali diteroka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!