9 taktik supermahal

No Image Caption
A
A
A
Dalam Sekolah Niaga siaran 14 Januari 2019, telah saya perihal jelas akan 4 taktik awal supermahal. Kali ini kita bicarakan sambungan taktik 6 hingga 9 pula.

TAKTIK SUPERMAHAL NO 6: DIRI KITA SDN BHD

Jadi pelabur serius dalam membangunkan diri. Tingkatkan ilmu. Tajam kan kemahiran perlu untuk kejayaan diri. Jadi pemenang dalam dua perkara. Pertama, rajin cari tahu tambah ilmu, dan kedua rajin bersedekah harta benda.

Labur dalam pembangunan diri. Belajar untuk jadi lebih baik dan tambah baik setiap hari. Telah disebut awal mula. Lakukan 5 kejayaan kecil setiap hari. Sebulan terkumpul 150 kejayaan, dan setahun ada 1, 800 kejayaan yang membentuk gunung kejayaan.

Ini cara untuk jadi manusia sukses dalam kehidupan. Saya berkesempatan duduk dengan 10 orang minda terbaik yang sukses dalam bisnes dan kehidupan mereka. Mereka beritahu kejayaan diri datang apabila mereka habiskan masa 3 jam sehari, 21 jam seminggu, 90 jam sebulan untuk pembangunan diri.

Kata mudahnya, “investing in learning”. Jadikan pemikiran, prestasi dan tabiat pribadi lebih baik. Studi jejak kejayaan mereka yang berjaya.

“Return on investment” yang terbaik adalah apabila kita melabur dalam Diri Sendiri Sdn Bhd.

Cara tercepat untuk ganda dua pendapatan adalah bukan dengan terus terusan berpendapat. Cara begitu jadikan orang meluat.

Sebaiknya seimbangkan antara kerja keras dengan kerja cerdas. Untuk kerja cerdas, ganda tiga pelaburan untuk penambahbaikan diri. Apabila kita tahu lebih, kita boleh buat lebih baik lagi. Pada setiap pelaburan ganda tiga pembaikan diri akan berikan kita ganda
Artikel Berkaitan:


dua pendapatan yang di cari.

TAKTIK SUPERMAHAL NO 7: LEBIH CERDAS DENGAN LEBIH CERGAS

Otak akan jadi lebih pintar dengan badan lebih bugar. Kekayaan itu bukan pada pundi pundi emas semata mata. Kekayaan ada pada

kebebasan masa dan kesihatan tubuh badan. Kesihatan adalah mahkota atas kepala, yang hanya dapat dilihat oleh orang yang sakit.

“Complete Game Changer” dalam hidup adalah pada power dan stamina diri. (Make your move to get moving)

Berjalan 10,000 langkah sehari. Mendaki 10 tingkat bangunan dengan menaiki tangga setiap hari. Bergerak. Berdiri dan terus melangkah. Bukan kadar jarak yang jadi ukuran. Konsistensi dan frekuensi itu penentu kejayaan.

Berjalan untuk sihat dan mudahkan ibadat. Mendaki untuk power dan berikan energi tahap tinggi, walaupun usia sudah bertambah dalam bilangan angka.

Kecilkan ketakutan. Lebarkan sayap keberanian. Tingkatkan tahap kesihatan dan kecergasan. Bantu bangunkan kecerdasan otak. Semak lima perkara utama.

Pertama, apakah memori – daya ingatan kita masih baik. Masih kuat dan tidak mudah lupa. Kedua, apakah “speed” , kelajuan kita berfikir masih macam dulu ataupun bertambah maju.

Ketiga, daya tumpuan kita. “Attention”. Kajian terkini menunjukkan daya tumpuan manusia hanya pada kadar 8 saat sahaja.

Keempat, Fokus. Apakah kita dapat fokus atau fikiran asyik melompat sana sini. Kelima, daya kreativiti kita. Apakah masih berkembang atau sudah menguncup dengan teruk.

Keenam, apakah kita fleksibel? Sedia dengar pendapat orang ataupun asyik mahu dengar suara sendiri sahaja. Atau kerana asyik sangat berpendapat, pendapatan kita pun mula berkurangan.

Apabila semua ini tidak bagus, itu tanda “penuaan otak” sedang berlaku. Otak sedang berlubang di sana sini. Mulakan dengan exercise sekurang kurangnya tiga kali seminggu .

Jaga kecergasan badan dan kita kembalikan kecerdasan otak.

TAKTIK SUPERMAHAL NO 8: KELAB 4 PAGI

Rahsia hasrat adalah tujuan. Ada obsesi luar biasa. Ada “Mighty Why”. Ada arti dan tujuan – mencari perkara perkara “immaterial” dalam kehidupan.

Sesuatu yang tidak nampak penting pada mata orang biasa yang memburu harta benda sebagai sasaran di depan. Immaterial amat penting untuk ukuhkan jiwa dan jadikan diri magnet menarik segala kebaikan.

Kebaikan itu termasuk harta benda yang diberkati.

Apabila kita ada “Mighty Why”, otak akan “high gear” dengan segala neuronnya bersambung sambung. Tiba tiba dari arah yang tidak disangka sangka, kita akan bertemu dengan semua “how”. Bagaimana?

Pertama, bersyukur. Saat kita terima dengan rela kesulitan kesulitan yang diberikan , pintu peluang akan terbuka lebih luas dan lebar. Jangan melawan kesulitan.

Reda pada pukulan pertama. Dan kemudian bangkit dengan lebih perkasa. Pancaroba hidup itu hanya sementara. Itupun demi kebaikan kita juga.

Kedua, dengan hidup hanya sepanjang tarikan nafas, jangan tanam apa-apa kecuali cinta. Rugi besar, seorang yang hidupnya tidak dipenuhi cinta. Ia akan berakhir dengan kehampaan.

Menjadi manusia ini adalah umpama tempat penginapan. Setiap pagi gembira dan nestapa tiba tanpa nyata. Sambutlah dengan hati ria. Pilih untuk gembira dan ingin cipta 5 kejayaan kecil yang kita dambakan setiap hari.

Ketiga, bangun pagi. Kita di lahirkan genius. Tetapi tidak boleh bangun jam 4 pagi. Tidak sanggup sertai Kelab 4 pagi. Tidak bermula dengan semangat membara.

Angin pagi tebarkan bau segarnya. Kita mesti bangkit dan menghirupnya. Angin yang izinkan kita hidup. Bernafaslah sebelum ia pergi. Jangan sia-siakan waktu. Kehidupan kita hanya sebentar cuma. Isi dengan kebaikan sebanyak banyaknya.

Dalam diri kita ada segumpal pagi yang menanti untuk merekah menjadi cahaya. Diri kita penuh dengan kebaikan. Menunggu untuk diungkapkan.

Terangi dunia dengan kebaikan. Pagi! Pagi! Pagi!

TAKTIK SUPERMAHAL NO 9: BUKA TABIR HIJAB

Dalam malam penuh derita dan kegelapan, jadilah lilin yang tebarkan cahaya sehingga fajar tiba. Nilai keberadaan kita, terletak pada berapa banyak kita berkontribusi pada sesama manusia yang memerlukan. 2K – Kontribusi dan Kongsi.

Selagi kita memandang kebesaran diri, selagi itu kebenaran dan kesabaran tidak akan terbuka untuk kita. Dan kita, tidak akan menemui keimanan sejati. Kasihkan saudara seagama seperti diri sendiri.

Selagi kita memandang aib orang, selagi itu tabir ghaib kebesaran Tuhan tidak akan terjelma dalam sanubari kita. Beruntunglah orang yang tidak membawa bawa iri hati sebagai teman seperjalanan. Iri hati tidak akan menghasilkan apa apa kecuali merosakkan hati dan kebahagiaan diri sendiri.

Mereka yang sukses sejati, menemukan tempat terindah di muka bumi adalah titik pusat jantung hati sendiri. “Centered”. Tempat hidup bermula.

Apakah jantung hati itu? Sekuntum bunga yang merekah. Mewangi indah. Hati adalah sumber kebaikan yang penuh keikhlasan.

Hati hanya tenteram dan bahagia dengan kebenaran. Mahu bahagia, setia lah pada kebenaran hakiki. Siapa yang kenal kejadian dirinya akan cepat beriman kepada Pencipta yang Esa dan Maha Kuasa.

Kebenaran mengangkat hati seperti air menyegarkan orang yang sedang kehausan. Jiwa yang bergulana adalah jiwa yang berat dengan harta benda beraneka rupa. Cuba menjadi orang “have have”, saat hidup belum berkecukupan adalah hype. Ia bakal bawa kita ke lembah bencana.

Akhlak , Adab dan Taqwa akan berikan kita zuhud. Merasa cukup dengan sekadarnya. Merasa sumber kebahagiaan ada dalam jiwa.

Temukan rasa manis di hati sendiri. Kita akan mula bertemu rasa manis pada setiap hati manusia yang kita temui. Dengan hati bersih dan sangka baik, kita akan temui kebaikan di mana mana. Dalam dunia sekarang dan pada akhirat yang bakal mendatang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!