Aura Klopp kembalikan status juara liga Inggeris ke bumi Anfield
Aura positif dijelmakan Jurgen Klopp sepanjang berada di Anfield berjaya menjadikan Liverpool kembali digeruni dan dihormati apatah lagi apabila mengakhiri kemarau 30 tahun kejuaraan liga utama Inggeris kelab Merseyside itu.
Menurut legenda Liverpool, Sir Kenny Dalglish, pengendali berusia 53 tahun kelahiran Stuttgart itu telah memberikan impak positif kepada The Reds khususnya dalam dua tahun terakhir ini.
"Bila Jurgen datang ke Anfield dia membawa semangat baharu dalam kalangan pemain-pemain Liverpool yang memang memberikan impak cukup positif dalam pembentukan karakter masing-masing.
"Klopp seorang yang fantastik kerana kemahuan dia melambangkan keinginannya bersama Liverpool. Dia juga menghormati semua orang yang berada di kelab ini begitu juga sebaliknya.
"Rentetan musim lalu yang dipisah satu mata untuk kejuaraan liga diikuti kejuaraan Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia, saya optimis lebih banyak lagi kejuaraan akan diraih Liverpool selagi Klopp masih di Anfield.
"Ia memerlukan aura yang hebat dan positif di bilik persalinan bagi membarakan semangat pemain-pemain menjulang sesuatu kejuaraan.
"Liverpool tidak akan memenangi sebarang kejuaraan sekiranya berlaku perpecahan dalam kalangan pemain sebaliknya penyatuan setiap peringkat yang membentuk kekuatan mereka hingga hari ini," kata Dalglish yang pernah membawa The Reds menjulang tiga kejuaraan liga sebagai pengurus sebelum ini.
Anak buah Klopp mengesahkan kejuaraan liga selepas pencabar terdekat yang juga juara musim lalu Manchester City tewas 2-1 kepada Chelsea di Stamford Bridge awal pagi tadi setelah kali terakhir melakukannya pada 1990.
Mengenai prestasi skuad kendalian Pep Guardiola, bekas pemain Scotland itu menyifatkan persaraan Vincent Kompany banyak mempengaruhi momentum The Citizens musim ini.
"Kompany adalah antara nadi pengerak yang memberi impak besar kepada prestasi Manchester City sebelum ini kerana ketiadaannya sememangnya memberikan kesan besar.
"Biarpun begitu saya percaya Manchester City akan kembali bangkit musim depan begitu juga musuh tradisi Liverpool, Manchester United, jadi adalah sukar untuk meramalkan dominasi berterusan jangka panjang sesebuah kelab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!