Komuniti antarabangsa digesa tolak rancangan ambil alih Palestin
KUALA LUMPUR - Malaysia hari ini menggesa komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengutuk dan menolak rancangan pengambilalihan Israel terhadap bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat.
Semasa membuat gesaan itu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komuniti antarabangsa hendaklah juga memastikan rancangan itu tidak akan dilaksanakan.
"Malaysia begitu prihatin terhadap nasib rakyat Palestin yang berterusan berhadapan dengan keadaan ketidakstabilan di Timur Tengah.
"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak pengumuman baru-baru ini oleh Israel untuk melaksanakan rancangan pengambilalihan bahagian Wilayah Palestin Yang Diduduki di Tebing Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak diadakan secara maya dan dihoskan Pengerusi ASEAN 2020, Vietnam serta yang disertainya dari Putrajaya.
Perdana Menteri berkata, Kuala Lumpur akan terus berdiri teguh dan bersatu padu dengan rakyat Palestin.
Muhyiddin menjelaskan bahawa rancangan pengambilalihan itu semakin mengurangkan prospek penyelesaian dua negeri yang disokong komuniti antarabangsa.
"Tindakan haram dan sebelah pihak oleh Israel jelas mempertikaikan keikhlasannya terhadap penyelesaian keamanan dan damai terhadap konflik Israel-Palestin yang telah lama berlarutan,” katanya.
Malaysia sudah lama memperjuangkan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin.
Kerajaan perpaduan Israel dibentuk antara Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan pesaing politiknya, Benny Gantz pada Mei, menandatangani satu perjanjian yang membenarkan Israel untuk memulakan undang-undang untuk pengambilalihan sebahagian besar wilayah yang diduduki di Tebing Barat bermula 1 Julai.
Tebing Barat, termasuk Jerusalem Timur telah berada di bawah penjajah Israel sejak Perang Enam-Hari 1967.
Dianggarkan 700,000 penduduk haram Israel menduduki wilayah berkenaan.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres pada perjumpaan maya Majlis Keselamatan pada Rabu lalu menggesa Israel membatalkan rancangannya untuk mengambil alih bahagian Tebing Barat yang diduduki. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!