Rakyat bosan gelagat orang politik
SERATUS hari telah berlalu sejak kita disekat pergerakan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.
Sekarang keadaan semakin beransur pulih, mudah-mudahan kembali seperti biasa dan kehidupan diteruskan tanpa sekatan.
Seperti diumumkan kerajaan, sekolah mula dibuka untuk Tingkatan Lima dan Enam dengan SOP diperketat.
Taman rekreasi sudah boleh dikunjungi, masjid dan surau sudah dibolehkan beroperasi, acara keagamaan, termasuk ibadat korban telah dibolehkan.
Dan yang paling menggembirakan majlis kahwin yang tersekat selama tiga bulan kini telah dibenarkan. Maka tersenyum panjanglah bakal pengantin.
MESKI telah dibolehkan semuanya mesti dilakukan mengikut peraturan. Masjid boleh dibuka, tetapi jemaahnya dihadkan.
Tok tertanya-tanya juga mengapa hendak sekat bilangan jemaah sedangkan kemasukan di pusat membeli-belah tidak ada had.
Di kawasan jualan durian Taman Datuk Harun, Jalan Klang Lama, orang ramai berjejal-jejal berebut membeli durian tanpa sedikit pun mengamalkan penjarakan sosial.
Kita berketat sangat untuk orang hendak ke masjid, tetapi beli durian bebas lepas tanpa sebarang SOP.
Tok bimbang nanti ada jangkitan Covid-19 kluster durian.
SELAIN musim durian yang menjadi-jadi, sekarang juga adalah musim orang politik lompat parti.
Seperti yang dilaporkan media hampir setiap hari ada sahaja wakil rakyat, ADUN dan anggota parti mengumumkan keluar parti.
Alasan mereka keluar parti kerana tidak yakin perjuangan parti asal. Tetapi yang jelas mereka belot kerana diberi habuan tertentu.
Rakyat bosan dengan orang politik seperti ini, tidak ada pendirian dan rela menjadi katak lompat. Katak seperti ini perlu ditolak dalam pilihan raya nanti.
Kita hendak wakil rakyat, bukan wakil katak puru!
MUSIM katak melompat adalah juga musim orang membodek sana-sini.
Masing-masing hendak cari makan dan cuba menaikkan tokoh-tokoh tertentu sebagai pemimpin.
Mereka mencalon tokoh tertentu sebagai calon Perdana Menteri, saling berebut untuk jawatan tertinggi itu.
Ketika rakyat mengeluh kerana kehilangan pekerjaan, lebih 700,000 menganggur akibat Covid-19, orang politik masih tidak habis-habis berebut hendak menjadi Perdana Menteri.
Cukup-cukuplah bermain politik. Rakyat sudah loya dengan gelagat orang politik.
Tok tak kisah siapa pun jadi Perdana Menteri, bosan!
RAMAI pemimpin UMNO mahu Parlimen dibubarkan untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 segera diadakan.
Parti politik lain pun bersemangat benar supaya PRU segera diadakan, masing-masing hendak menguji kekuatan dan hendak menumbangkan kerajaan yang ada sekarang.
Juak-juak politik pun bersemangat semacam hendakkan pilihan raya sebab masing-masing gilakan kedudukan dan ingin menjadi calon.
Tetapi rakyat tidak bersemangat untuk satu lagi pilihan raya sebab mandat kerajaan yang ada sekarang masih belum tamat.
Bagi Tok biarlah mandat sekarang ditamatkan dan belanja untuk pilihan raya digunakan untuk benda-benda lain yang lebih penting.
Pilihan raya umum tidak perlu diadakan hanya untuk memuaskan hati orang politik. Rakyat pun tidak ada semangat untuk mengundi, mereka sibuk mencari rezeki menyambung hidup.
Lagi pun dengan gelagat dan kerenah orang politik sekarang, rakyat pun tidak tahu siapa yang hendak dipilih sebagai wakil mereka.
Rakyat penat mengundi, kecewa dan bosan.
AKHIR kalam, pawagam, kedai gunting, dan pusat hiburan mula dibuka sebagai tanda bahawa pandemik Covid-19 sudah hampir tamat.
Tapi Tok suka mengingatkan kita jangan yakin sangat virus maut itu sudah berakhir, sebab kuman maut itu sentiasa mengintai kita.
Janganlah kita alpa, teruslah berjaga-jaga!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!