PAP dan pilihan raya Singapura

A
A
A

NAMPAKNYA tetangga seberang tambak kita sudah pun bertekad untuk mengadakan pilihan raya umumnya tahun ini. Untuk rekod, pilihan raya pada 10 Julai nanti adalah pilihan raya umum yang ke-13 negara itu selepas ia dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965.

Walaupun ada desakan terutamanya daripada parti pembangkang negara itu untuk menangguhkannya sehingga awal 2021 disebabkan Covid-19, pemerintah tetap nekad untuk meneruskannya.

Petanda awal kepada pilihan raya umum di republik itu juga sudah kelihatan apabila persempadanan semula kawasan pilihan rayanya dilakukan Mei lalu.

Ini jelas menunjukkan bahawa ia sudah lama ditetapkan di sebalik kes Covid-19 negara itu yang terus meningkat.

Tindakan itu barangkali diambil oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong bagi membolehkan partinya, Parti Tindakan Rakyat (PAP), mendapatkan mandat baharu dengan segera supaya proses transisi kepimpinan negara itu dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.

Umum mengetahui, Hsien Loong sudah pun mengumumkan hasrat untuk bersara sebagai Perdana Menteri apabila mencapai usia 70 tahun.

Beliau juga sudah beberapa kali menggambarkan bahawa Timbalannya, Heng Swee Keat bakal mengambil alih kepimpinan selepas persaraannya kelak.

Hal itu bukanlah sesuatu perkara yang baharu dalam politik Singapura. Transisi yang sama berlaku dengan tiga Perdana Menteri sebelumnya, bermula daripada zaman mendiang bapanya, Lee Kuan Yew kepada Goh Chok Tong tahun 1990 yang kemudiannya diteruskan kepada beliau pada tahun 2004.

Artikel Berkaitan:

Menariknya, kedua-dua bekas Perdana Menteri itu selepas bersara dilantik semula sama ada menjadi Menteri Mentor walaupun nampak macam ‘gila talak’, ia juga agak unik dan luar biasa bagi sebuah negara seperti Singapura.

Yang pasti ia memberikan ruang kepada bekas Perdana Menteri untuk terus menyumbang pengalaman, nasihat dan bimbingan kepada pentadbiran baharu.

Kenapa itu berlaku? Umum mengetahui bahawa PAP ialah sebuah parti yang sudah lama memerintah di Singapura.

Sebagai sebuah negara kecil dengan sumber yang terhad, kelangsungan hidup (survival) negara itu bergantung harap kepada kebijakan dasar dan kestabilan politik negara.

Agenda inilah yang menjadi pegangan PAP yang diteruskan oleh generasi pelapisnya. Benar alasan ini menjadikan PAP terlalu autokratik dan sentiasa menekan pembangkang dan kepembangkangan, tetapi itulah juga yang menjadikan Singapura maju, hebat dan berjaya.

Hal itu menjadikan pemimpin Singapura sangat teliti ketika membuat keputusan dengan tidak membiarkan ada ruang langsung untuk sebarang kesilapan.

Semua perkara telah dibuat secara teliti, dirancang, dibincangkan yang hasil serta manfaatnya adalah daripada sesuatu yang dilakukan untuk kepentingan negara.

Bahkan dalam isu pembaharuan politik, penggantian kepimpinan, penjanaan semula kepimpinan juga dibuat dengan kaedah yang sama.

Sebab itu pilihan raya umum Singapura pada tahun ini juga bukanlah sesuatu yang disengajakan. Ini bagi memastikan kesinambungan kepimpinan republik itu akan terus berlaku dan memastikan kestabilan politik demi kelangsungan negara.

Semua ini disebabkan oleh satu perkara: survival negara adalah terlalu penting dan tidak berbaloi untuk dirisikokan oleh permainan politik yang melampau.

Barangkali, aspek inilah yang Malaysia boleh pelajari dalam konteks politik tetangga kita.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!