Rumah Al Capone dijual dengan harga AS42.9 juta
New YORK - Sebuah rumah yang pernah diduduki penjenayah terkenal Amerika Syarikat (AS), Al Capone di Brooklyn di sini menanti pembeli apabila ia mahu dijual pada harga AS2.9 juta (RM12.42 juta), lapor akhbar New York Post pada 24 Jun lalu.
Menurut akhbar tersebut, penjenayah itu dilahirkan di Brooklyn pada tahun 1899 dan ketika kanak-kanak serta remaja dia tinggal di rumah bandar Park Slope sebelum berpindah ke Chicago pada tahun 1919.
Sebelum ini seorang ahli perniagaan, Steven Kalifowitz pernah membeli rumah berkenaan pada harga AS$2.42 juta (RM10.36 juta) pada awal tahun 2018.
Rumah itu menjalani pengubahsuaian sepenuhnya dan mempunyai tiga bilik tidur dengan sebuah taman.
Ia mempunyai ruang peribadi dan boleh digunakan untuk tujuan sewaan.
Kediaman itu diubah suai menjadi rumah yang menarik dan moden.
"Bahagian dalaman rumah itu adalah sama (berada dalam keadaan rumah asal). Tetapi, bahagian lain sudah diubah suai, malah bahagian atap pun sudah diubah suai. Tidak ada lagi komponen asal di rumah tersebut," kata seorang ejen hartanah syarikat Douglas Elliman, Nadia Bartolucci.
Al Capone lahir dalam keluarga berketurunan Itali dan terkenal sebagai ketua penjenayah, mengendalikan rumah persundalan, rangkaian perjudian dan ahli perniagaan di Chicago.
Dia dipenjarakan pada tahun 1931 kerana kesalahan melarikan diri daripada cukai dan dihukum penjara selama 11 tahun.
Al Capone kemudiannya meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menghidap strok pada 25 Januari 1947 ketika berumur 48 tahun di Pulau Palm, Florida, AS.
Keluarga Capone memiliki rumah tersebut sehingga kematian ibunya pada tahun 1950an.
Suruhanjaya Mercu Tanda Chicago dan Majlis Penasihat Tapak Bersejarah Illinois pada tahun 1989 menolak untuk menjadikan rumah itu sebagai sebuah mercu tanda bersejarah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!