Ambil iktibar daripada ayam

A
A
A

BARU-BARU ini kecoh pula pasal ayam. Saya pada mulanya tidaklah tahu juga apa kena-mengena dengan ayam ini.

Cuma setelah ramai berbual tentang ayam ini, dari pagi hingga ke petang seolah-olah dunia hendak kiamat, itu yang sedikit sebanyak membuatkan saya terus mencari maklumat pula.

Sebenarnya kalau hendak bercerita tentang ayam ini, banyaklah yang boleh kita ambil iktibar dan contoh. Ayam ini memang sudah menjadi kegemaran rakyat jelata.

Ada ayam kampung, ada ayam bandar. Ada orang kalau tidak ada lauk ayam, maka tidak ada selera. Ada orang pula alahan pada ayam.

Orang-orang tua bijaksana kita pun ada membuat simpulan bahasa dan peribahasa tentang ayam. Ada yang ditujukan untuk perkara elok-elok dan ada juga ditujukan kepada perkara yang tidak elok.

Daripada peribahasa dan simpulan bahasa ini, kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa orang-orang dahulu banyak memerhatikan alam sekeliling dan juga haiwan.

Kasih sayang mereka membuak-buak terhadap alam dan haiwan ini sehingga diambil untuk dijadikan perbandingan dan contoh dalam kehidupan.

Kalau saya membuat semakan di Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP dan menaip perkataan ayam, maka akan ada lebih kurang 118 peribahasa tentang ayam.

Artikel Berkaitan:

Begitulah hebatnya orang-orang tua kita dahulu kala dalam memerhatikan alam sekitar secara amnya dan ayam khususnya.

Sebagai contohnya peribahasa, ‘Ayam hitam terbang malam bertali ijuk, bertambang tanduk, hinggap di kebun rimbun’. Kalau dibaca, memang agak susah hendak memahaminya.

Apabila dilihat kepada maksudnya, barulah kita faham kenapa digunakan ayam hitam terbang malam. Ayam hitam ini bila terbang malam memang susah hendak kita lihat. Apatah lagi hendak menangkapnya.

Dan kadang-kadang kita pun tidak perasan akan apa yang telah dilakukannya. Seolah-olah melakukan sesuatu perkara dengan sembunyi-sembunyi dan sulit untuk dikesan.

Bagaimanapun, ada juga peribahasa ‘Ayam putih terbang siang, hinggap di halaman, terang kepada mata orang banyak’.

Kalau ayam putih, terbang pada waktu siang pula memang kita mudah untuk melihatnya kerana ada cahaya terang dan ayam itu berwarna putih.

Walaupun kedua-dua peribahasa ini sudah wujud sekian lama, tetapi masih boleh diguna pakai untuk zaman sekarang.

Lagipun kedua-dua ayam hitam dan putih ini masih ada lagi dan masih boleh terbang. Cuma pada zaman sekarang ayam hitam ke, ayam putih ke, ia boleh terbang bila-bila masa sahaja.

Ayam-ayam ciptaan Tuhan ini, tidaklah saya tahu ia mempunyai otak fizikal seperti manusia atau tidak. Tetapi banyaklah juga akan manfaat dan iktibar boleh dijadikan amalan hidup sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tetapi ayam tetap ayam yang berkokok subuh hari untuk mengejutkan umat manusia supaya tersedar daripada keadaan tidak sedar. Maka eloklah juga kita bermuhasabah untuk memperbaiki diri.

Yang menariknya lagi ialah percakaran ayam-ayam ini menyebabkan terciptanya pula ‘peribahasa’ Melayu moden. Diucapkan pula oleh orang bijak pandai kita yang mempunyai umur dulu-dulu tetapi hidup zaman sekarang.

‘Peribahasa’ tentang ayam inilah yang saya maksudkan telah menyebabkan kecohnya di seluruh alam maya negara kita ini. Iaitu, yang mungkin boleh kita ambil iktibar akan ‘peribahasa’ moden ini, ‘curi 11 ekor ayam, beri balik seekor.’

Maksudnya penuh tersirat dan tersurat bagi orang-orang berfikir terutama rakyat jelata, jika ditelusuri dengan penuh berhati-hati.

Dan pada masa yang sama, tercipta juga satu lagi ‘peribahasa’ moden iaitu ‘peribahasa’ untuk menjawab kepada ‘peribahasa’ di atas ini, ‘jangan bercakap tentang curi atau pulangkan ayam, kalau seluruh reban telah disembelih’.

Oleh itu, bolehlah kita simpulkan juga, bahawa orang zaman sekarang tidak kalah dengan orang-orang bijaksana zaman dahulu kala dalam berperibahasa dan mengambil iktibar daripada ayam ini.

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan yang meminati penulisan kreatif. Untuk berkenalan, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!