Myvi rempuh kedai makan

Keadaan kereta Perodua Myvi remuk selepas merempuh kedai makan malam tadi.
Keadaan kereta Perodua Myvi remuk selepas merempuh kedai makan malam tadi.
A
A
A

AMPANG - Sebuah kedai makan di Lorong Perak, Taman Melawati di sini mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah kereta malam tadi.

Pemilik kedai, Othman Ahmad, 60, berkata, dia mengetahui insiden yang berlaku pada jam 8.30 malam itu selepas dihubungi rakannya dikenali sebagai Jai.

"Ketika kejadian Jai sedang menguli tepung di kedai sebelum sebuah kereta Perodua Myvi merempuh kedai.

"Pada masa itu saya pula berada di rumah dan bergegas ke lokasi kejadian," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Othman berkata, kedai makan miliknya mengalami kerosakan melibatkan beberapa meja dan kerusi makan selain tiang patah akibat rempuhan tersebut.

"Syukur rakan saya selamat dalam kejadian ini, namun kos untuk baik pulih kedai termasuk membeli kerusi dan meja dianggarkan RM2,000," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superitendan Mohd Azam Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pemandu kereta tersebut yang juga lelaki warga tempatan telah ditahan untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!