KPM bantu pendidikan 5 beradik
PUCHONG - Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengambil perhatian kes lima beradik yang dilapor tidak bersekolah akibat kesempitan hidup keluarga sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Unit Pengurusan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Abdul Rahim Mohidin berkata, pihaknya sudah turun padang, mengambil maklum kes tersebut dan didapati kesemua mereka layak untuk bersekolah.
Beliau yang mewakili Pengarah Bahagian Sekolah berkata, pihaknya menerima makluman berhubung keluarga berkenaan beberapa hari lalu menerusi penularan maklumat di media sosial.
“Kementerian akan bantu keluarga ini uruskan hal kebajikan mereka, saya difahamkan ada beberapa agensi lain juga datang untuk bantu keluarga ini.
“Kami akan urus kes mereka dengan cara terbaik dan secepat mungkin meliputi pendaftaran sekolah dan lain-lain hal ketika anak-anak ini sudah bersekolah,” katanya.
Beliau berkata, kesemua anak pasangan Mohd Azman Mohd Noor, 43, dan Wiwik@Siti Fatimah Mohd Yasin, 47, layak bersekolah namun anak sulung berusia 17 tahun menyatakan tidak minat ke sekolah kerana tidak pernah bersekolah.
Katanya, pihak kementerian dan jabatan pendidikan negeri akan berikan bantuan sewajarnya.
“Semua anak pasangan suami isteri ini layak bersekolah cuma yang sulung tak berminat kerana tak pernah bersekolah. Kami sudah pujuk...namun setakat ini dia belum berfikir lagi. Mungkin kita akan gunakan khidmat kaunselor sekolah untuk bantu.
“Bagi masalah anak tak reti baca dan sebagainya, kami akan uruskan dengan kaedah terbaik kerana kementerian ada pakar untuk uruskan hal sebegini. Apa yang penting jika mereka berusaha pasti berjaya,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkanppp beratapkan bumbung bocor, siapa sangka disebalik sebuah bangunan kedai usang yang ditinggalkan di sini menjadi tempat teduhan kepada tujuh beranak sejak empat tahun lalu.
Dikelilingi semak samun, bangunan dengan keluasan 20 x 10 kaki yang tidak dilengkapi kemudahan tandas itu menjadi ruang tamu dan tempat tidur pasangan suami isteri bersama lima anak mereka.
Lebih menyedihkan akibat kesempitan hidup, ada antara anak pasangan tersebut tidak bersekolah sejak beberapa tahun lalu malah ada yang tidak pernah bersekolah.
Nasib tujuh beranak ini mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) apabila keluarga tersebut akan dipindahkan ke sebuah rumah yang lebih selesa dan sempurna.
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Zakat Selangor, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, keluarga itu didaftarkan sebagai asnaf miskin dan buat permulaan, Zakat Selangor membayar deposit sewa rumah untuk keluarga Mohd Azman.
Keluarga berkenaan turut diberi bantuan sewa rumah bulanan,bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 dan bantuan makanan bulanan bermula bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!