Ismail Sabri nafi terlibat penubuhan parti baharu

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PEKAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan menyertai atau terlibat dengan cadangan penubuhan parti baharu, kononnya dikenali sebagai Parti Reformasi Bersatu Negara yang tular di media sosial sejak semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu menegaskan bahawa dirinya setia bersama UMNO sejak lebih tiga dekad lalu, selain tidak pernah berbincang dengan beberapa pemimpin yang dikaitkan akan turut menerajui parti baharu itu.

"Hidup dan mati saya adalah bersama UMNO. Jika saya berhenti politik sekalipun, saya akan berhenti dalam UMNO. Tidak timbul isu saya menyertai parti lain. Ini bagi saya hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

"Saya pun hanya tahu mengenainya malam tadi, apabila ditanya orang... saya tidak tahu itu parti siapa atau siapa dan bagaimana nama saya berada di dalamnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Felda Chini 3 dekat sini hari ini.

Ismail Sabri juga tidak menolak kemungkinan isu penubuhan parti itu ditimbulkan oleh pihak yang mahu menimbulkan persepsi tidak benar bahawa terdapat masalah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Beliau mengulas dakwaan namanya disenaraikan sebagai Timbalan Presiden parti yang kononnya dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain turut membariskan nama beberapa menteri dan pemimpin parti politik lain.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberi peringatan kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini untuk keluar mengundi walaupun Barisan Nasional (BN) dilihat berdepan laluan mudah untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

"Jangan ambil mudah kerana walaupun kita hanya dicabar calon Bebas, namun pertandingan tetap pertandingan. Pengundi (dari) luar pula jangan ada anggapan tidak perlu pulang kerana BN sudah pasti menang. Jangan bersikap sambil lewa hal ini hanya kerana kawasan ini adalah kubu kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri juga optimis bahawa rakyat di Chini akan berpihak kepada calon BN, mengambil kira prestasi kerajaan PN yang telah membuktikan kemampuan mentadbir negara sehingga Malaysia dilihat sebagai salah satu negara terbaik dalam mengendalikan pandemik wabak Covid-19.

Selain itu, semangat Muafakat Nasional yang terjalin antara UMNO dan Pas juga dilihat sebagai faktor untuk kemenangan BN pada PRK DUN Chini, 4 Julai ini, dengan mengambil kira rekod kemenangan pada beberapa siri PRK yang dihadapi selepas jalinan kerjasama dibentuk pada awal tahun 2019.

PRK DUN Chini menyaksikan calon BN dari UMNO, Mohd Sharim Md Zain, 41, ditentang dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Abu Bakar yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!