Jijik! Peniaga ludah bakso pelanggan
JAKARTA - Seorang peniaga tergamak meludah ke dalam mangkuk bakso yang dijual kepada pelanggan dipercayai untuk melariskan jualan.
Perkara itu diakui selepas perbuatannya terbongkar menerusi satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di beranda rumah milik pelanggannya.
Kejadian tersebut berlaku di Perumahan Unilever, Meruya Selatan, Kembangan, Jakarta Barat, lapor Tribunnews.
Dalam rakaman video berdurasi 34 saat itu menunjukkan peniaga lelaki berkenaan sedang menyediakan pesanan bakso untuk pelanggan wanita bernama Hikma.
Hikma memesan beberapa bakso untuk anaknya.
Dia menyedari tindakan peniaga itu ketika melihat monitor CCTV di ruang tamu rumahnya.
"Selepas memesannya, saya menunggu dalam rumah sementara peniaga itu membuat bakso di luar rumah.
"Semasa melihat CCTV, saya perasan ada sesuatu yang pelik di mana peniaga seperti meludah ke mangkuknya," katanya.
Meskipun mengetahui perbuatan peniaga terbabit, Hikma tidak menegur sebaliknya terus membayar makanan berkenaan.
"Saya tahu dia ludah pada makanan itu dan tak berani tegur kerana suami tiada di rumah. Bimbang keselamatan anak-anak.
"Saya tak makan dan buang bakso tersebut," katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pembangunan Polis, Komisioner Imam Irawan memaklumkan bahawa setakat ini tindakan berkenaan bukan berunsur jenayah.
Bagaimanapun katanya, walaupun tidak ada unsur jenayah tetapi dia menasihatkan kepada peniaga agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!