Rancakkan kembali ekonomi, sama besar cabaran kawal Covid-19
TANGKAK - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan cabaran untuk merancakkan kembali ekonomi negara selepas beberapa bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sama besarnya dengan cabaran untuk mengawal penularan Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu berkata, meskipun aktiviti ekonomi sudah bermula, ia masih belum mencapai tahap yang dikehendaki kerajaan dan masih banyak masalah yang dihadapi termasuk peniaga.
Katanya, pakar-pakar ekonomi turut menjangka ekonomi negara akan berhadapan dengan penurunan untuk tempoh suku kedua dan suku ketiga pada tahun ini.
“Kebimbangan saya ialah hampir satu juta akan hilang pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Ini sesuatu yang cukup membimbangkan kita (kerajaan).
“Jika kita tidak ambil langkah segera, ia (pengangguran) akan membawa kepada satu masalah besar kepada penduduk dan anak-anak muda kita.
“(Sebab itu) kita minta kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah proaktif untuk membantu sama ada individu mahupun peniaga bagi memudahkan urusan perniagaan mereka,” katanya semasa berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini hari ini.
Mengambil contoh jika sebelum ini, PBT mengambil masa berbulan-bulan untuk mengeluarkan atau memperbaharui lesen perniagaan, Muhyiddin berkata mungkin dalam norma baharu ini, tempoh itu boleh dipercepatkan bagi membolehkan peniaga memulakan perniagaan mereka.
Selain itu, katanya, mungkin pihak kerajaan negeri dan PBT boleh melihat kepada bentuk bantuan lain kepada peniaga seperti dari segi logistik dan sebagainya.
“Jika itu semua tidak dapat disediakan, maka industri dan perniagaan tidak akan dapat berjalan seperti yang kita harapkan,” kata Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu.
Muhyiddin berkata, kerajaan Persekutuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara diperkenalkan untuk membantu merancakkan kembali ekonomi negara.
“Apa yang saya beritahu ini, supaya kita (rakyat) faham cabaran yang besar dan sedang dihadapi negara adalah menguruskan Covid-19 yang saya kira sudah sampai kepada tahap yang dikatakan berjaya tetapi menguruskan semula supaya ekonomi rancak seperti sedia kala, ini cabaran yang juga sama besar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin dengan adanya kerjasama daripada kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri badan-badan kerajaan yang lain dan agensi yang berkaitan dalam memberi sokongan, ia dapat membantu ke arah merancakkan kembali ekonomi negara dalam tempoh tidak berapa lama lagi.
“Keutamaan saya tidak lain tidak bukan ialah soal kebajikan rakyat, pembangunan negara, merancakkan kembali ekonomi, menjaga kesihatan penduduk negara kita dan langkah sebegitu ialah langkah yang ditunggu rakyat daripada berbicara mengenai politik,” kata Muhyiddin.
Ini merupakan kali pertama Muhyiddin pulang ke kawasan DUN dan Parlimennya sejak PKP dilaksanakan dan selepas kelonggaran merentas negeri diberikan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!