Guna borang dalam talian mudahkan pengundi kongsi masalah, pendapat
PEKAN - Calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin menyediakan borang dalam talian di Facebooknya bagi memudahkan pengundi membuat aduan atau mengemukakan pendapat sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, langkah sementara itu diambil kerana kekangan masa untuk menemui dan mendengar semua masalah pengundi dalam masa terdekat.
Menurutnya, setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diambil tindakan selain memaklumkan kepada pihak berkaitan.
"Bagaimanapun saya akan cuba menemui semua pengundi di sini dalam tempoh kempen yang berbaki enam hari lagi," katanya ketika ditemui di bilik gerakan beliau di sini, hari ini.
Tengku Zainul Hisham berkata, setakat ini beliau sudah menemui 50 peratus pengundi di DUN Chini termasuk di Felda, kampung tradisi dan perkampungan orang asli.
"Sudah tentu, dengan tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi, saya dan jentera akan menggandakan usaha agar sasaran untuk menemui semua pengundi di sini dapat dicapai.
"Sebenarnya, kita sudah menyusun jadual pergerakan kempen setiap hari namun ada ketikanya masa bertemu pengundi lebih panjang kerana banyak cerita dan aduan yang mahu dikongsi.
"Buat sementara ini, pengundi yang mahu menyampaikan masalah atau pendapat boleh menggunakan borang secara dalam talian,"katanya.
Menyentuh rutin hariannya sepanjang tempoh kempen ini, Tengku Zainul Hisham mengakui kehidupannya berubah berbanding sebelum ini.
"Boleh dikatakan berubah 360 darjah terutama masa rehat kerana jadual kempen agak padat dan dilalui sebelum hari penamaan calon lagi," katanya.
Beliau berkata, penat lelah bagaimanapun berbaloi apabila dapat bertemu pengundi dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!