539 atlet, 142 jurulatih RTT menjalani latihan sepenuh masa

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

SERAMAI 539 atlet dan 142 jurulatih daripada kalangan atlet elit di bawah program Road To Tokyo (RTT), Podium dan Pelapis Kebangsaan akan dipanggil menjalani latihan harian sepenuh masa.

Latihan terbabit akan dilakukan di semua pusat latihan Majlis Sukan Negara (MSN) melibatkan Kompleks MSN Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kompleks Sukan MSN Keramat dan Pusat Pelayaran MSN di Langkawi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, panggilan menjalani latihan berkenaan dibuat berikutan latihan intensif kendalian jurulatih negara di kem Latihan Pusat Program RTT bermula 1 hingga 30 Jun berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang besar.

Menurut Reezal Merican, latihan intensif yang melibatkan 57 atlet sebagai persiapan awal Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2021 itu telah dikendalikan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita bersetuju untuk MSN memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah Program RTT, Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan berperingkat bermula pada 5 Julai nanti dengan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM.

"Semua latihan intensif berkenaan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar dan ini menyakinkan kementerian, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk membuka ruang kepada kesemua atlet di bawah program Podium dan Pelapis Kebangsaan melibatkan atlet elit dan atlit para untuk kembali meneruskan latihan di MSN," katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Reezal Merican turut meminta agar MSN dan ISN mematuhi SOP Am Pengurusan dalam memastikan segala urusan dan keperluan logistik atlet-atlet berkenaan disediakan.

Selain itu katanya, MSN dan ISN juga perlu memastikan tempat latihan serta khidmat sokongan sains dan perubatan sukan bersedia sepenuhnya bagi atlet-atlet negara ini memulakan latihan harian masing-masing seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Pada 7 Jun lalu Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang dilihat banyak memberikan kelonggaran kepada pelbagai sektor termasuk sukan untuk mula beroperasi mulai 10 Jun.

"Justeru, kelonggaran berkenaan dilihat memberikan harapan kepada semua atlet negara yang ingin memulakan latihan sepenuh masa bagi bagi memastikan mereka dapat meneruskan program latihan seperti yang dirancangkan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, seramai 135 atlet para dan 31 jurulatih daripada program RTT dan Podium akan diminta untuk melapor diri di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampong Pandan pada 5 Julai ini bagi memulakan latihan sepenuh masa.

Katanya, pihak MSN dan ISN bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan barisan jurulatih negara juga diarahkan untuk mengkaji semula program latihan yang telah dirangka sebelum untuk disesuaikan dengan perkembangan sukan masa kini yang terkesan dan mengalami pelbagai perubahan hasil daripada kesan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

"Walaupun kerajaan telah memberikan kelonggaran dan ruang yang agak luas kepada semua untuk menjalani latihan dan bergiat aktif semula dalam bidang sukan dan rekreasi, namun pihak kementerian ingin mengingatkan dan menegaskan semua pihak terutama barisan jurulatih, atlet dan pegawai sukan untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Mereka (jurulatih, atlet dan pegawai sukan) juga perlu sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19 ini berlaku di kalangan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara pula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!