Jiran tidak tahu kes penculikan sebab PKP

Sekumpulan penjenayah menyembunyikan mangsa di sebuah rumah di Taman Kosaso, Rawang.
Sekumpulan penjenayah menyembunyikan mangsa di sebuah rumah di Taman Kosaso, Rawang.
A
A
A

HULU SELANGOR - Penduduk di Taman Kosaso di sini mendakwa tidak menyedari kejadian seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri diculik dan disembunyikan di sebuah rumah di kawasan tersebut.

Seorang wanita berusia 30-an yang enggan dikenali memaklumkan dia baharu pulang semula ke rumah dua hari lalu selepas terkandas di Pahang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tidak menyedari kes penculikan ini malah sebelum ini jiran (suspek) juga tidak bertegur sapa dengan keluarga saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Wanita itu berkata, keluarganya baharu berpindah di rumah tersebut pada Februari lalu sebelum pulang ke Pahang untuk melahirkan anak.

"Saya mengetahui kes jenayah ini setelah melihat ramai anggota polis menyiasat di lokasi kejadian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh suspek ditahan kes culik, bunuh Datuk Seri

Sementara itu, seorang lelaki berusia 50-an memaklumkan dia melihat sekumpulan lelaki berkumpul di rumah tersebut sejak kebelakangan ini.

"Saya tidak mengenali suspek, mereka mungkin pekerja kontrak kerana banyak peralatan pembinaan di sekitar rumah tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang dilapor hilang sejak 17 hari lalu terjawab selepas mayatnya ditemukan di tepi sebuah belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad mengesahkan mangsa berusia 55 tahun sebelum ini hilang dipercayai diculik ketika berjoging di Taman Permainan, Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10 Jun lalu.

Mangsa dipercayai disembunyikan di sebuah rumah di Taman Kosaso sebelum suspek mendakwa mangsa meninggal dunia pada tiga atau empat hari selepas diculik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!