Bersih jangan hipokrit, kata Ketua Pemuda Umno
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan peranan Bersih dalam isu pelanggaran sepanjang kempen PRK Cameron Highlands yang dilakukan oleh PH.
Katanya, Bersih jangan hipokrit dan hanya menzahirkan niat sebenar mahukan pilihan raya adil ketika PH menjadi pembangkang.
Beliau berkata, apabila PH menjadi kerajaan pada hari ini, perjuangan Bersih dakwanya seolah-olah berkecuali dengan memekakkan telinga dan membisukan mulut.
"Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun yang sebelum ini merupakan aktivis Bersih begitu bersemangat memperjuangkan soal pilihan raya bersih dan telus, hari ini seolah-olah membisukan apa yang jelas di hadapan mata.
[ARTIKEL BERKAITAN: Mana ada SPR 'rabun', 'buat-buat tak nampak']
"Rakyat menilai perkara ini, jangan hipokrit dan hanya menzahirkan niat sebenar perjuangan ketika Bersih dan PH menjadi pembangkang. Bila mendapat kuasa, mereka dilihat menjadi alat kepada PH dan berkecuali dalam hal-hal berkaitan pelanggaran dalam pilihan raya," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial gambar seorang wanita memakai baju PH mengagihkan wang kepada beberapa individu.
Namun begitu, parti tersebut menegaskan wang tersebut diagihkan sebagai bayaran balik bagi menampung kos petrol kepada sukarelawan mereka dalam kempen PRK.
Semalam, Azhar Azizan menyatakan SPR akan membawa isu penggunaan kenderaan jabatan kerajaan bagi tujuan kempen PRK Cameron Highlands kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Bersih perlu proaktif melaungkan ketelusan dan kecekapan SPR.
"Hari ini, mereka telah diberikan peluang berada dalam SPR dan kerajaan, jadi tidak perlu berdolak dalih.
"Apa yang berlaku hari ini adalah, mereka cuba menutup segala kepincangan hanya kerana telah mendapat apa yang diidamkan (menjadi kerajaan)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!