CCTV bongkar kegiatan pecah rumah warga Kenya

Suspek menunjukkan gambarnya yang dirakam sebuah CCTV.(Kanan: Rakaman sebuah CCTV menunjukkan kegiatan pecah rumah di sekitar Larkin, Johor Bahru.)
Suspek menunjukkan gambarnya yang dirakam sebuah CCTV.(Kanan: Rakaman sebuah CCTV menunjukkan kegiatan pecah rumah di sekitar Larkin, Johor Bahru.)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya membongkar kegiatan seorang lelaki warga Kenya yang terlibat dalam beberapa kes pecah rumah sekitar Larkin di sini sejak hujung tahun lalu hingga awal tahun ini.

Modus operandi lelaki warga asing berusia 35 tahun itu adalah dengan memanjat bumbung rumah atau kedai selain mengumpil pintu menggunakan peralatan atau parang pendek yang mudah dibawa.

Pada awalnya suspek berjaya melakukan kegiatan itu di beberapa buah rumah namun siasatan polis menerusi rakaman CCTV berjaya merakamkan perbuatan dan wajah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya kemudian memberkas lelaki berkenaan pada jam 12 tengah hari semalam di daerah ini.

"Soal siasat awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian pecah rumah tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) polis menahan seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Axia di Jalan Tebrau di sini pada malam Khamis lalu kerana mencuri di sebuah kedai serbaneka sekitar Tebrau.

Katanya, suspek berusia 20 tahun ditahan anggota menaiki MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu sebelum merampas 36 kotak susu formula pelbagai jenama dan dua karton tin minuman keras.

"Pihak polis menemukan semua barang disyaki dicuri tersebut yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang kereta suspek. Hasil semakan nombor pendaftaran kereta suspek didapati menggunakan nombor pendaftarannya palsu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semasa disiasat suspek mengaku mencuri barang-barang itu yang bernilai RM1,500 dari kedai serbaneka untuk dijual semula.

Katanya, semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau atas kesalahan yang sama dan kini direman sehingga esok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!