Sasar dua rumah MyHaus setiap negeri

Zulkifli pada program Inspirasi Musaadah Covid-19 di Ar Rahnu Yapeim Cawangan Sik, Kedah hari ini.
Zulkifli pada program Inspirasi Musaadah Covid-19 di Ar Rahnu Yapeim Cawangan Sik, Kedah hari ini.
A
A
A

SIK - Kerajaan Pusat menyasarkan dua buah rumah terpilih di setiap negeri terlibat dalam pelaksanaan Program MYHaus di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, program berkenaan yang dibiayai melalui dana wakaf berkonsepkan patuh syariah mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik untuk anak lelaki dan perempuan selain ibu bapa.

Menurutnya, pelaksanaannya merangkumi bina rumah, baik pulih atau menyediakan kemudahan asas dalam nilai yang munasabah.

"Pada peringkat pertama, kita sasarkan setiap negeri dua buah rumah selain bercadang agar kolaborasi itu diluaskan," katanya ketika hadir pada Program Inspirasi Musaadah Covid-19 di Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Cawangan Sik, hari ini.

Zulkifli berkata, kerajaan juga mengambil kira faktor kebersihan dan persekitaran menerusi Program MYHaus termasuk keperluan kerohanian yang diperlukan terutama kepada golongan asnaf dan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, keputusan berkaitan keperluan solat Jumaat dua sesi termasuk membabitkan negeri tidak beraja akan diketahui minggu depan.

"Negeri-negeri yang mempunyai Yang Dipertua Negeri, mereka ada peraturan tersendiri namun kebiasaannya negeri ini akan ikut Wilayah Persekutuan.

"Perkara ini sudah diangkat sembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk tindakan sebelum diumumkan pada akhir minggu depan, insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!