Tun M perkukuh Azmin sebagai watak penting Langkah Sheraton


NIK NAZMI
NIK NAZMI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan individu bertanggungjawab mengukuhkan kedudukan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga beliau menjadi watak penting dalam peristiwa keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Langkah Sheraton.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan adalah tidak adil untuk Dr Mahathir menyalahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar dan parti itu dalam peristiwa Langkah Sheration hanya untuk melepaskan diri dari mengakui dirinya penyumbang terbesar kejatuhan kerajaan PH.

Menurutnya, Azmin tidak akan dilantik jawatan menteri kanan bersama ahli Parlimen menyokongnya seperti Zuraida Kamaruddin jika Dr Mahathir tidak memilih keputusan itu meskipun tidak dicalonkan PKR susulan beliau ketika itu masih Menteri Besar Selangor.

"Azmin dan pasukannya diberi jawatan penting dengan tujuan menjadikan Keadilan (PKR) lebih porak-poranda.

"Padahal, Azmin, Zuraida dan sekutu mereka merupakan antara individu yang paling tidak bersetuju untuk menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH dengan alasan Malaysia perlukan tokoh lebih muda seperti Azmin.

"Dr Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengukuhkan kedudukan Azmin sehingga beliau menjadi watak penting dalam Langkah Sheraton. Ia tidak adil untuk Dr Mahathir menyalahkan Anwar atau PKR semata-mata hanya untuk melepaskan diri dari mengakui dirinya menjadi penyumbang terbesar kejatuhan kerajaan PH," katanya melalui hantaran dalam laman sosial Facebook beliau petang tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir mengatakan krisis di antara Anwar dan Azmin telah menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton yang telah membawa kejatuhan PH.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipertikaikan memberi pandangan demikian sewaktu diwawancara oleh wartawan sebuah stesen penyiaran berita antarabangsa, Asia Times baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Nik Nazmi berkata, Anwar pernah bertemu dengan Dr Mahathir untuk memberi nasihat dan amaran tentang risiko menghadiahkan Azmin dengan pasukannya jawatan penting kerana menteri kanan kerajaan Perikatan Nasional itu mempunyai cita-cita politik yang besar.

"Tindakan Dr Mahathir memberikan jawatan-jawatan penting kepada pasukan Azmin seolah-olah ingin mengganggu Keadilan (PKR), di atas sebab itu Anwar cuba berunding dengan Dr Mahathir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!