KDN, JPN kenal pasti dalang sindiket PATI: Hamzah
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengenalpasti dalang sindiket membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang salah guna kuasa termasuk bersekongkol dengan sindiket itu.
Menurutnya, tindakan tegas diambil bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan mudah oleh warga asing.
"Sebagai contoh, kalau ada anggota yang terlibat melakukan kesalahan membawa masuk PATI atau warga asing tanpa dokumen sah, kita boleh anggap ia sebagai 'human trafficking' yang hanya beri kepentingan kepada sindiket semata-mata. Jadi ini semua kita akan ambil tindakan.
"Tindakan tegas ini adalah sesuatu yang ada dalam peruntukan undang-undang dan kita hendak pegawai ini juga tidak bersama dengan kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Menteri Dalam Negeri Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Chini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Hamzah berkata, beliau juga mahu anggota Rela menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk membanteras PATI di negara ini.
"Anggota Rela adalah pemimpin bawahan dan mereka mungkin lebih tahu lorong-lorong yang orang luar (PATI) yang memasuki negara...jadi bantu kerajaan untuk hantar PATI ini ke negara mereka," katanya.
Dalam pada itu, Zainudin turut memuji peranan dimainkan anggota Rela yang banyak membantu kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, ketika ini Rela masih bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan rakyat negara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Hamzah turut menolak dakwaan pengumuman peruntukan bagi memperbaiki aset PDRM semasa lawatannya ke Pahang sebagai gula-gula politik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Katanya, peruntukan yang lulus serta merta ini bukan gula-gula politik kerana anggota polis yang mengundi di sini hanya 18 orang sahaja.
"Oleh kerana lawatan saya sebagai menteri, apabila kita lihat ada yang perlu diperbaiki, maka kita akan bantu," katanya.
Hamzah mengumumkan peruntukan bagi memperbaiki Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sebanyak RM640,000; kuarters Balai Polis Paloh (RM200,000) dan kuarters Balai Polis Chini (RM150,000) selepas melakukan lawatan ke bangunan terbabit hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!