Subky Latif Lord Thomson Malaysia

A
A
A

DALAM kalangan pengamal media hari ini, wartawan handalan Subky Latif, yang meninggal dunia pada usia 80 tahun pada 23 Jun 2020 lalu, boleh dikatakan tidaklah begitu dikenali. Allahyarham lebih diketahui sebagai seorang pemimpin veteran Parti Islam SeMalaysia (Pas). Tidak ramai yang mengetahui jejak Subky dalam bidang kewartawanan – kecuali bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang itu pada tahun-tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an.

Saya beruntung kerana merupakan salah seorang wartawan yang sempat berguru dengan Allahyarham sewaktu saya mengikuti kursus asas kewartawanan anjuran Utusan Melayu untuk 40 orang pemberita sambilan organisasi media itu selama dua bulan antara April hingga Mei 1971.

Selepas kursus tersebut tamat dan saya diserap sebagai pemberita kadet dengan Utusan Melayu bermula 1 Jun tahun yang sama, saya meneruskan perguruan saya dengan Subky untuk menajamkan penulisan berita dan rencana saya.

Sebagai seorang wartawan kanan yang disegani di dalam dan di luar Utusan Melayu kerana menghasilkan komentar-komentar yang kritis terhadap pelbagai isu nasional terutamanya politik, Subky terkenal sebagai seorang wartawan jempolan dan kawakan yang disegani.

Wajah beliau mungkin kelihatan sedikit serius dan bengis, tetapi beliau bukanlah seorang yang egois, sombong dan angkuh. Beliau seorang insan yang mudah didekati dan murah hati.

Barangkali menyedari bahawa keinginan saya untuk mendalami bidang kewartawanan adalah tulen, beliau bukan sahaja memberi tunjuk ajar untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu. Beliau juga memberi ruang kepada saya untuk berkarya dalam mingguan Utusan Zaman dan Mastika di mana Allahyarham bertindak sebagai pengarangnya.

Malah apabila beliau berpeluang untuk mengadakan temu ramah eksklusif dengan Datuk Hussein Onn yang baharu sahaja dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, menggantikan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meninggal dunia pada pertengahan 1973, Subky mempelawa saya untuk menemaninya walhal beliau boleh pergi sendirian untuk melakukan tugasan tersebut.

Pengalaman itu mengajar saya bahawa sekiranya kita berjaya mendapatkan interviu dengan seorang pemimpin negara dan ingin mengorek sebanyak mungkin pendapat dan pandangan, seorang wartawan bukan sahaja perlu membuat persiapan rapi sebelum temu ramah diadakan. Kita kena memainkan peranan sebagai devil's advocate (penyanggah).

Artikel Berkaitan:

Kita juga kena belajar untuk memikirkan pertanyaan-pertanyaan susulan terhadap jawapan-jawapan yang diberikan oleh tokoh yang kita temu ramah.

Dalam perjalanan pulang selepas menemu ramah Datuk Hussein Onn itu, saya memuji Allahyarham kerana menjadi wartawan pertama yang dapat mengadakan interviu eksklusif dengan Timbalan Perdana Menteri baharu itu.

“Kamu tahu macam mana saya dapat temu ramah itu?” Subky bertanya kepada saya. Saya menggelengkan kepala.

Dia terus berbicara: “Selain berurusan dengan setiausaha akhbar Datuk Hussein Onn, yang semacam tidak berminat untuk saya bertemu dengan bosnya, saya juga menggunakan pengaruh Puan Azah Aziz, isteri Profesor Ungku Aziz untuk mengatur pertemuan itu.”

Jaringan

Puan Azah ialah pengarang rencana Utusan Malaysia pada waktu itu. Dan yang lebih penting, menurut Subky “Kak Azah adalah sepupu Datuk Hussein Onn. Dia ada direct line dengan sepupunya itu.” Ibu Kak Azah dan ayahanda Hussein Onn adalah adik-beradik.

“Jadi jika kamu ingin mendapatkan temu janji dengan mana-mana pemimpin, seorang wartawan itu hendaklah menggunakan jaringan yang dia ada dengan elit-elit politik yang memerintah,” kata Subky lagi.

Berikutan pertukaran kepimpinan editorial dalam bilik berita Utusan Melayu pada 1973, Subky tidak lagi selesa bekerja dengan Utusan Melayu. Ketua Pengarang Kumpulan yang beliau senangi yang dianggap sebagai mentor dan memberi kebebasan kepada beliau untuk berkarya, Pak Melan Abdullah bersara dan digantikan dengan Mazlan Nordin, Ketua Pengarang BERNAMA.

Satu hari sebelum meletakkan jawatan pada awal 1974, Subky memanggil saya ke biliknya. “Saya sudah meletak jawatan,” beliau memberitahu saya dan menyambung: “Rancangan saya adalah untuk menerbitkan akhbar saya sendiri. Saya nak jadi macam Lord Thomson, pemilik akhbar the Times di London. Ada akhbar sendiri dengan pengaruh yang besar terhadap politik.”

Sebelum saya meninggalkannya, dia mempelawa saya untuk menyertainya menerbitkan akhbar yang dirancang itu. “Mari kita sama-sama bekerja dengan sebuah akhbar yang benar-benar bebas dan tidak terikat dengan kepentingan mana parti politik,” ujarnya.

Saya sangka Subky main-main. Rupanya tidak.

Apabila akhbar mingguan Suara Rakyat yang dirancang sejak sekian lama ingin diterbitkan pada pertengahan 1975, Subky beberapa kali singgah di rumah saya di Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk memujuk saya bekerja dengannya.

Saya bersama dua rakan wartawan lain di Utusan Melayu – Abdul Jalil Ali dan Azim Arash mengikut Subky ke Suara Rakyat pada 1 April 1975.

Kerana pendirian editorial yang kritikal dan dianggap anti-establishment kerana terlalu banyak memberi ruang kepada order lama yang tidak disenangi oleh order baharu pimpinan Tun Abdul Razak Hussein, selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Suara Rakyat diharamkan pada Disember tahun yang sama.

Selepas itu Subky menerbitkan pula majalah bulanan SARINA atau Sari Nasional, majalah hiburan dwibulanan Kisah Cinta dan majalah bulanan Keluarga, dan tidak lama selepas itu mingguan Suara Merdeka, menggantikan Suara Rakyat.

Saya dilantik sebagai pengarang SARINA. Perguruan saya dengan Allahyarham Subky berakhir apabila saya ke London untuk berkhidmat dengan Bahagian Melayu, British Broadcasting Corporation (BBC) pada November 1976.

**Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!