NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menzahirkan rasa terkejut dan terganggu dengan rakaman video memaparkan dua kakitangan mereka melakukan hubungan intim di dalam kenderaan rasmi agensi antarabangsa itu di Israel. Menerusi klip berdurasi 18 saat yang dimuat naik di Twitter itu, adegan memalukan itu didakwa berlaku di tempat duduk belakang kenderaan terbabit. Menurut PBB, individu terbabit dipercayai kakitangan misi pengaman Pertubuhan Pengawasan Gencatan Senjata PBB (UNTSO) yang berpangkalan di Baitulmaqdis. "Perbuatan mereka sangat menjijikkan dan bertentangan dengan apa yang kami perjuangkan untuk memerangi salah laku melibatkan staf PBB," kata jurucakap Setiausaha Agung agensi itu, Stephane Dujarric. Jelasnya, siasatan dijangka selesai dalam tempoh terdekat dan pasangan itu hampir dikenal pasti. Pengguna Twitter turut memberikan reaksi kurang senang dan kecewa dengan insiden tersebut dan seorang daripadanya memberi respons, 'mengapa saya tidak terkejut'. Pada 2002, laporan setebal 84 muka surat tentang amalan 'makanan untuk hubungan seks' di kem pelarian di Afrika Barat telah diserahkan kepada PBB namun ia tidak pernah diterbitkan. Kandungan laporan itu mendakwa lebih 40 agensi bantuan termasuk 15 badan amal antarabangsa seperti Save the Children dan Medecins Sans Frontieres mengeksploitasi pelarian muda secara seksual. - Agensi