Manifesto PAP fokus pada isu ‘bread and butter’

Hsien Loong mengumumkan manifesto PAP, hari ini. - Foto: Agensi
Hsien Loong mengumumkan manifesto PAP, hari ini. - Foto: Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Kempen Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) akan memfokuskan isu 'bread and butter' atau kos sara hidup dan idea jangka panjang untuk memulihkan dan melakukan transformasi di negara itu.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong hari ini ketika beliau mengumumkan manifesto parti pemerintah itu, Our Lives, Our Jobs, Our Future yang memberi keutamaan kepada usaha menyelamatkan sektor pekerjaan dan memulakan semula ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

“Pilihan raya itu akan berlangsung di tengah-tengah krisis paling buruk yang dihadapi dunia dalam tempoh beberapa dekad.

“Buat masa ini, memastikan Singapura terus berada di landasan tepat adalah paling mencabar dan menjadi keutamaan pemerintah,” katanya yang turut memegang jawatan Setiausaha Agung parti itu yang telah memerintah Singapura selama 61 tahun.

Selain itu, manifesto parti itu juga menyatakan bagaimana PAP akan bekerjasama untuk mengatasi ‘krisis generasi’ termasuk bagaimana untuk menjaga keselamatan rakyat Singapura dan pekerja migran serta mencegah koronavirus (Covid-19) daripada menjejaskan sistem penjagaan kesihatan di negara tersebut.

Ia juga memperincikan rancangan untuk menstabilkan perniagaan dan membantu sektor itu berkembang, memberi sokongan kepada isi rumah, memberi nafas baharu kepada bandar raya terbabit serta kehidupan lestari.

Ketika mengulas tentang 27 calon baharu PAP, Hsien Loong melihat ia sebagai ‘gabungan baik’ terdiri daripada pengusaha, ahli perniagaan, wanita, peguam, pekerja sosial, penjawat awam dan pegawai tentera.

Difahamkan, ia mewakili lebih seperempat daripada angka keseluruhan dan jumlah calon baharu tertinggi yang dipertaruhkan PAP dengan peningkatan dua kali ganda calon baharu wanita berbanding Pilihan Raya Umum pada 2015. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!