DABA sukar dicari ganti
PANGGILAN telefon yang diterima Mohd Azraai Khor Abdullah pada 18 Ogos 2004 di Kulim, Kedah telah mengubah kehidupannya sebagai jurulatih bola sepak tempatan yang disegani sehingga hari ini.
Kejayaannya memimpin pasukan Kedah muncul juara berganda dalam saingan Liga Malaysia pada tahun 2007 dan 2008 menjadi bualan dalam kalangan peminat tempatan kerana mengetengahkan resipi kombinasi kekuatan pemain muda tempatan dan pemain import berkualiti.
Bagaimanapun, di sebalik pencapaian gemilang itu, Mohd Azraai berkata, faktor sebenar adalah hasil perancangan rapi Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil (DABA) yang jelas terbuka menerima pendapat selain mempunyai kemahiran pengurusan tersusun melibatkan pemain, jurulatih dan barisan pimpinan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
“Kenangan yang paling saya tidak dapat lupakan adalah ketika menerima panggilan telefon daripada arwah yang menawarkan saya posisi ketua jurulatih pada tarikh tersebut. Tarikh itu saya masih ingat walaupun ia sudah 16 tahun berlalu.
“Pada hari sama juga iaitu pada sebelah petang, saya diminta datang ke Alor Setar untuk bertemu arwah. Apa yang mengejutkan, saya terus dibawa berjumpa dengan semua pemain Hijau Kuning pada masa itu,” katanya kepada Sinar Ahad.
Bercerita lebih lanjut, Mohd Azraai berkata, Ahmad Basri ialah seorang yang terbuka dalam menerima pandangan semua pihak bagi memastikan bola sepak di negeri itu terus maju.
Menurutnya, sosok tubuh yang menjadi kesayangan penyokong dan peminat di negeri ini sanggup mengetepikan keputusan peribadinya jika majoriti sepakat tidak bersetuju dengan pilihan tersebut.
“Saya masih ingat bagaimana arwah berkenan dengan seorang pemain import kulit hitam yang berkualiti bagi posisi tengah dan perbincangan sudah pun dilakukan dengan ejen pemain tersebut.
“Bagaimanapun, pilihannya tidak berkenan di mata saya dan dua lagi Penolong Jurulatih Kedah iaitu Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail. Pada waktu itu, kami sedang mencari pemain import tengah yang mempunyai hantaran yang baik untuk digandingkan dengan Marlon Alex James.
“Selepas menguji pemain Chile, Nelson Sam Martin, kami bertiga cukup teruja dengan kemampuan dan sepakat memilihnya. Perkara ini dibincangkan bersama arwah dan tidak sangka beliau sanggup mengetepikan pilihannya selepas majoriti keputusan memihak kepada Nelson.
“Saya lihat arwah seorang yang bertimbang rasa dan tidak membuat keputusan terburu-buru. Setiap tindakan yang dilakukan oleh barisan jurulatih ditanya kembali dengan teliti bagi memuaskan hati semua pihak. Setiap keputusan dilakukan secara bersama,” cerita beliau.
Terharu
Jelasnya, beliau juga terharu dengan kesungguhan mendapatkan pemain-pemain import berkualiti untuk memperkuatkan skuad Hijau Kuning.
“Bayangkan, saya pernah menceritakan tentang minat saya terhadap kualiti dimiliki oleh Marlon semasa pemain itu bersama Selangor MK Land FC dan arwah bersetuju dengan apa yang saya kata.
“Selepas Marlon keluar daripada pasukan itu dan pulang ke negaranya di Saint Vincent Grenadines, arwah tidak putus-putus menggunakan pelbagai cara memujuk pemain itu termasuk meminta pertahanan kami, Cornelius Bernard Huggins memujuk Marlon kerana mereka dari negara yang sama. Akhirnya dia bersetuju menyertai kami pada 2006,” katanya.Pengendali berusia 67 tahun itu berkata, Ahmad Basri juga sentiasa bersamanya turun padang untuk mencari bakat-bakat baharu dalam kalangan pemain muda daripada pasukan Piala Presiden Kedah.
“Pemain-pemain muda ini bersemangat apabila melihat kami selalu turun melihat aksi mereka pada hari perlawanan di Stadium Mini Jitra.
“Arwah juga sanggup turun bersama saya untuk menonton perlawanan pasukan Piala Presiden Kedah di laman lawan di sekitar negeri-negeri utara. Saya akui pemimpin dan pengurus bola sepak sepertinya cukup sukar dicari ganti,” jelasnya.Hasil pembangunan pemain muda yang diberikan tumpuan di seluruh negeri Kedah, maka lahirlah pemain-pemain muda berbakat seperti Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen, Sabree Abu, Khairul Helmi, Helmi Eliza, Fazliata Taib dan ramai lagi.
Tambah Mohd Azraai, arwah juga pernah meluahkan rasa puasnya atas pembangunan bola sepak Kedah selepas majlis meraikan kejayaan pasukan itu menyapu bersih Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2007 bersama Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Sultan Badlishah.
“Pada malam itu, saya masih ingat kata-katanya dan dapat melihat kepuasan terpancar pada wajahnya. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada arwah kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengemudi pasukan yang cukup luar biasa ini. Saya percaya tanpanya saya tidak akan sampai pada tahap ini,” katanya.
Ahmad Basri yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 15 Julai 2008 dipercayai akibat serangan jantung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!