Sastera persaudaraan Nusantara
PERSAUDARAAN Nusantara merupakan tuntutan zaman yang semakin mendesak memandangkan globalisasi telah turut menimbulkan kesan perpecahan. Kesan daripada petaka pandemik covid-19 semakin menjarakkan hubungan apabila setiap negara menutup pintu masing-masing kerana bimbang akan penularan wabak berkenaan.
Kebimbangan dan prasangka sentiasa mencorakkan cara berfikir manusia yang kental dengan semangat patriotisme dan nasionalismenya. Mereka mencurigai tindakan pihak lain (the Other) dan sentiasa menyikapi the Other dengan penuh prasangka. Lalu, apakah sikap kita dalam ranah sastera?
Warga sastera tidak berada di jenjang politik yang ampuh kuasanya; kita hanya berada dalam ranah persuratan yang sangat halus dan subjektif. Namun, sastera juga mencipta iklim harmoni dalam rumpun yang kita hidupi bersama.
Dalam dunia kesusasteraan, perkongsian nilai dan estetika menjadi asas untuk menentukan puitika sastera Nusantara. Oleh itu, baik secara abstrak mahupun secara konkrit, tindakan segera mesti direncanakan dan dilaksanakan tanpa henti. Negara-negara di Asia Tenggara, khususnya yang menggunakan bahasa Melayu sepatutnya memiliki persaudaraan yang teguh.
Nilai sepunya yang bukan sahaja terbit daripada persamaan bahasa, malahan nilai hidup, resam, budaya komunikasi, tentulah menjadi petanda solidariti antara negara. Apatah lagi dalam sebuah negara seperti Malaysia yang terbentuk pada tahun 1963, sentimen kenegerian sewajarnya telah lama dipadamkan daripada perspektif politik. Dikotomi antara Semenanjung dengan Borneo sepatutnya tidak lagi berlaku kerana Malaysia satu entiti sahaja, bukannya berpola-pola.
Namun begitu, beberapa pihak atas kepentingan politik telah mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka dengan membakar sentimen kenegaraan dan kenegerian.Warga sastera tidak memiliki kekuatan politik untuk menghapuskan api prasangka sebegitu secara legal dan drastik, tetapi dunia sastera dapat kita jadikan perisai bagi membentengi serangan agitator politik itu, dan dalam masa yang sama menyemai benih kebersamaan.
Negara jiran
Dalam konteks ini kita berdepan dengan dua situasi, iaitu situasi serantau (antara negara) dan situasi dalaman (antara negeri). Kedua-dua situasi ini memerlukan perhatian sama rata untuk menjadikan sastera sebagai tenaga budaya yang dapat meredakan kepanasan sentimen antara pihak yang bertentangan sikap.
Dalam rentang sejarah persuratan Nusantara, cakupan sastera Melayu tidak terbatas oleh sempadan geopolitik atau kedaulatan kerajaan. Oleh itu, hasil sasteranya juga dikongsi bersama dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Misalnya, pengarang di Tanah Melayu atau di negeri-negeri di kepulauan Melayu dianggap sebagai pengarang Melayu sahaja, bukannya milik kerajaan tertentu semata-mata.
Kita dapat merasakan kebesaran tamadun Melayu itu apabila semuanya terkumpul dalam data persuratan Melayu berbanding dengan koleksi yang terbatas apabila dikonsepsikan mengikut sempadan geopolitik.
Apabila sesuatu kumpulan tidak berpeluang menghayati pemikiran atau perspektif masyarakat di negara jirannya, akan mudahlah berlaku kekeliruan dan terbitnya prasangka. Oleh itu, lalu lintas pemasaran buku antara negara serantau perlu dibuka tanpa sebarang sekatan kecuali jika wujud unsur sensitif yang membahayakan hubungan diplomatik. Sekatan lalu lintas buku hanya akan menyebabkan lalu lintas pemikiran juga tersekat bagaikan sungai yang tepu sehingga tidak dapat mengalirkan kotoran ke laut lepas bagi menjernihkan airnya.
Perpaduan sukar disuburkan jika tekanan dari atas dikenakan. Golongan yang berada di arus bawah tidak boleh dipaksa-paksa untuk menerima nilai secara undang-undang. Ini melibatkan psikologi, dan jalan yang ampuh adalah melalui ideologi. Ideologi untuk menyuburkan perpaduan antara negara bukan sahaja perlu ditegaskan secara undang-undang, malahan yang lebih baik adalah melalui pendidikan dan pembudayaan massa. Oleh itu, di peringkat sekolah sehinggalah pengajian tinggi, sastera dari negara serumpun wajar dijadikan bacaan wajib. Dengan adanya perancangan yang teratur dan melibatkan kuasa politik, pembudayaan jenis ini tentu sahaja dapat dilakukan.
Di samping lalu lintas sastera yang lancar perlu juga kita kembangkan idea perpaduan melalui penerapan nilai. Selagi masyarakat kita berbahasa Melayu, nilai atau tasawur yang dipegangnya adalah hampir sama.
Oleh itu, wajar dirumuskan satu jalur estetika sastera Melayu yang seterusnya dapat membentuk puitika sastera Nusantara. Antara aspek yang boleh difikirkan ialah unsur keindahan bahasa, kebersamaan simbolisme, tatacara komunikasi, retorik, dan sebagainya.Rasa kekitaan antara masyarakat pelbagai negara di Nusantara akan menumbuhkan perasaan nasionalisme yang hebat. Biarpun kita tidak mengenali antara satu sama lain, kumpulan kita adalah besar, seperti kata Benedict Andersen kita merupakan suatu komuniti bayangan atau the imagined communities.Di peringkat pengajian tinggi, kajian perbandingan wajar diperhebat. Kajian sastera bandingan bukan sahaja disebar secara lisan dalam seminar atau persidangan tetapi perlu dibukukan dan kemudian dijadikan teks di universiti dan sekolah menengah atas.
Dengan adanya kegiatan akademik seumpama itu, para sarjana di setiap negara akan menjadi lebih terbuka dan dapat pula berperanan sebagai public opinion leader untuk menyemarakkan pemahaman budaya saudara serumpun.
Oleh itu, usaha menjana perpaduan mesti dilakukan terus-menerus dengan pelbagai kaedah dan oleh semua pihak yang berwewenang. Bagi dunia sastera, tenaganya tidak boleh dipandang remeh; sastera juga bertenaga dalam ruang budaya untuk membentuk pemikiran masyarakat. Warga sastera Nusantara sebenarnya telah mengorak langkah kebersamaan ini melalui pertemuan budaya yang merentas sempadan negara. Kini, dalam situasi kita terkurung akibat Covid-19, gerakan menyuburkan persaudaraan serantau tetap hidup di alam maya. Pelbagai acara diadakan oleh pelbagai pihak dalam talian, dan hubungan antara penulis seluruh Nusantara kian mekar.
Tetapi, bagaimana pula pihak pemerintah melihat situasi ini? Tidakkah mereka mahu membantu dengan punca kuasa yang dimiliki?
* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya. Beliau juga ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!