Tubuh jawatankuasa khas tangani PATI: Mapim

Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang dalam proses dihantar pulang ke negara asal mereka baru-baru ini. (Gambar kecil: Mohd Azmi Abdul Hamid)
Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang dalam proses dihantar pulang ke negara asal mereka baru-baru ini. (Gambar kecil: Mohd Azmi Abdul Hamid)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengusulkan kerajaan Kedah dan Pusat bekerjasama membentuk sebuah lembaga atau jawatankuasa khas bagi menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia tanpa mengenepikan tanggungjawab kemanusiaan, undang-undang antarabangsa serta kepentingan negara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong penubuhan jawatankuasa khas di peringkat Parlimen bagi meneliti isu PATI untuk menjaga kebajikan mereka serta merangka polisi yang wajar diguna pakai kerajaan.

Menurutnya, pihaknya turut mengesyorkan jawatankuasa sama dibentuk di peringkat negeri supaya kerajaan negeri turut memainkan peranan membantu kehadiran PATI terutama dalam aspek keselamatan, pendidikan, kebajikan, pekerjaan serta khidmat kesihatan.

“Sesuai dengan usaha dilaksanakan negara selama ini menyantuni pendatang asing dengan memastikan keselamatan awam dipelihara, membenarkan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) menjalankan fungsinya bantu pelarian dan permohonan suaka, serta membenarkan mereka mencari nafkah hidup,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Bengkel Menangani Xenophobia dalam Komuniti di Kampung Pondok semalam.

Saranan itu turut disokong bersama Sekretariat Himpunan Ulama Asia, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Kedah, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kedah, Majlis Muafakat Muslimah Masjid, Persatuan Ulama Kedah, Baitul Hikmah Sungai Petani, Persatuan Sayang Sungai Petani, Malaysian Relief Agency (MRA) Kedah serta Briged Bakti Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, pihaknya berpendapat kerjasama antara semua pihak berkaitan termasuk NGO, masyarakat setempat serta pihak berkuasa adalah wajar agar kehidupan PATI dapat dikendalikan dengan lebih mudah.

“Pada masa sama, masyarakat setempat perlu dididik mengenai isu pelarian yang mengharungi nasib sukar di seluruh dunia akibat konflik serta penindasan ke atas mereka.

"Pelarian perlu diberi peluang untuk hidup dengan aman, selamat dan bermaruah ketika menumpang di negara lain selain mendidik mereka untuk menghormati dan menjaga budaya hidup masyarakat tempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya menolak sikap xenofobia kalangan masyarakat yang menyebarkan sentimen kebencian serta menyemarakkan permusuhan yang boleh mencetuskan ketegangan awam dalam mengendalikan isu PATI.

“Sikap xenofobia perlu dibanteras dalam masyarakat, sentimen kemanusiaan hendaklah dipupuk seluas mungkin dalam menangani isu ini. Kami harap sifat kemanusiaan dan persaudaraan ditunjukkan terhadap pelarian yang terpaksa mencari perlindungan untuk menumpang sementara di negara ini, sebelum pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Mohd Azmi berkata, semua agama mengajar sifat kasih sayang dan menyebar rahmat sesama insan sebagai panduan masyarakat menyantuni mereka yang tertindas dan terpinggir.

“Islam tidak benarkan mereka yang dizalimi dibiarkan tanpa pembelaan. Kami beri perhatian serius terhadap pelbagai insiden ugutan, dihalau dari rumah sewa serta menyebarkan prasangka buruk terhadap Pati sewenang-wenangnya tanpa asas. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana tidak melambangkan sikap rakyat Malaysia yang pemurah dan bertimbang rasa,” katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai undang-undang dan ia harus dihormati semua pihak, mengambil tindakan sendiri boleh merosakkan imej negara serta mencetuskan ketegangan awam dan perlu dielakkan.

“Dalam insiden terkini, 94 termasuk kanak-kanak dan wanita pelarian Rohingya hanyut di laut Indonesia diselamatkan masyarakat tempatan di Aceh atas sifat kemanusiaan. Sikap inilah yang sepatutnya ditunjukkan oleh pelbagai masyarakat,” katanya.

Mohd Azmi berkata, pihaknya bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang maya ASEAN kelmarin supaya tindakan berkesan diambil oleh ASEAN bagi membanteras sindiket pemerdagangan manusia secara tegas.

ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin minta UNHCR percepat proses penempatan semula pelarian

“Kami sokong mereka yang terlibat perlu didakwa dan dihukum sewajarnya. Kami juga berpendirian, walaupun Malaysia tidak mampu menerima pelarian Rohingya berterusan, semua negara anggota ASEAN perlu bekerjasama menangani isu tersebut di peringkat rantau untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam keadaan sukar mencari negara lain menerima pelarian ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kesemua NGO terlibat berharap kerajaan memantau keadaan Pati, terutama pelarian wanita dan kanak-kanak di pusat tahanan Imigresen, agar hak asasi mereka terpelihara.

“Kami gesa kerajaan bertindak tegas terhadap dalang yang mengambil kesempatan, mengugut, mengambil rasuah serta menindas pelarian yang menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!