Calon Shafie sebagai PM, porak-perandakan PH

Exco Armada Nasional Bersatu, Muzzammil Ismail
Exco Armada Nasional Bersatu, Muzzammil Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaklumkan beliau dan pengikutnya mencalonkan Presiden Parti Warisan Sabah (Sabah), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri kesembilan jika Pakatan Harapan (PH) Plus memerintah hanya akan menyebabkan perpecahan besar dalam parti gabungan itu.

Exco Armada Nasional Bersatu, Muzzammil Ismail berkata, tindakan bekas Perdana Menteri itu juga akan menyebabkan PH porak-peranda.

Beliau berkata, dengan menamakan Shafie bermakna jelas percaturan tersebut sebenarnya adalah untuk tidak memberi laluan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tentu sekali opsyen kali ini lebih merugikan Anwar dan akan menimbulkan kemarahan penyokong PKR.

"Cubaan atau percaturan merampas kuasa kerajaan hari ini tidak akan berjaya, malah ini sudah masuk opsyen ketiga di mana perpecahan besar akan berlaku dalam PH," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Anwar, Mukhriz TPM sekiranya Shafie calon PM: Tun M

Semalam, Dr Mahathir mendakwa beliau dan penyokongnya menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri kesembilan jika PH Plus berjaya mengambil alih kerajaan, selain turut menamakan Anwar dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan II.

Dalam pada itu, Muzzammil turut menyelar pimpinan tertinggi parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang mengeluarkan kenyataan tidak tahu berkenaan cadangan nama Shafie sebagai calon Perdana Menteri dan perlu berbincang di peringkat kepimpinan pusat PH.

ARTIKEL BERKAITAN - Calon baharu PM perlu dibincang di peringkat kepimpinan Pusat PH

"Semuanya memeningkan. Bukan setakat antara kem Anwar-Mahathir, malah turut mengheret Amanah dan DAP sekali.

"Setiap minggu calon PM (Perdana Menteri) berubah-ubah dan rakyat juga pening dengan polemik drama ini," katanya.

Selepas pendedahan Dr Mahathir mengenai pencalonan Shafie, satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng yang memberitahu cadangan Shafie sebagai calon Perdana Menteri belum rasmi serta masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan Pusat Amanah dan DAP dahulu, kemudian dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama.

ARTIKEL BERKAITAN - Kepimpinan Amanah tidak tahu Shafie Apdal calon PM

Muzzammil berkata, ekoran situasi terbaharu itu, beliau melihat kemungkinan Anwar menerusi PKR akan membuat gerakan politik baharu dengan mengenepikan kumpulan yang tidak berpihak kepada beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Ini sangat huru hara dan semata-mata bermotifkan dendam dan gila kuasa.

"PH berada dalam krisis dan seolah-olah belah menanti retak, jadi mana mungkin dapat menjadi kerajaan dalam keadaan ketidakstabilan politik gabungan mereka," katanya.

Tegasnya, rakyat lebih yakin kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasain yang fokus kepada kebajikan rakyat terutama pasca pemulihan wabak koronavirus (Covid-19).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!