Pelanggan panik kedai char kuetiau terbakar
BUTTERWORTH - Beberapa pelanggan yang sedang menikmati char kuetiau di sebuah kedai di Jalan Permatang Pauh di sini bertempiaran lari apabila premis terbabit disambar api malam tadi.
Kejadian berlaku di kedai Char Keau Tiaw Kaki Lima kira-kira jam 10.40 malam tadi menyebabkan pelanggan yang berada di premis tersebut panik.
Jurucakap bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.44 malam lalu bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kedai kelas C dengan anggaran keluasan 50x30 kaki persegi.
"Peratusan kemusnahan dianggarkan 80 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Hanya pemilik kedai melecur di tangan dan kaki kanan, namun tidak serius selain tiada pelanggan mengalami kecederaan.
"Mangsa yang berusia 44 tahun itu telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian. Api kemudiannya dapat dikawal dan kerja pemadaman diteruskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!