Bot rosak dimasuki air, tiga nelayan selamat
KOTA TINGGI - Tiga nelayan selamat selepas bot yang dinaiki rosak dan bocor sebelum dimasuki air pada kedudukan sekitar 8.7 batu nautika selatan Sungai Rengit dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada jam 9.25 pagi, mereka yang berusia 30 hingga 44 tahun ketika itu sedang menangkap ikan dan tiba-tiba bot rosak sebelum tersadai di tengah-tengah laut.
Pemilik bot tersebut kemudian menghubungi mereka selepas beberapa jam tidak memaklumkan pergerakan ketiga-tiganya tetapi gagal sebelum menelefon talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kapal ronda MN Johor menggunakan bot tender bersama-sama bot Pasukan Polis Marin (PPM) kemudian berjaya mengesan mereka.
"Kita temukan tiga nelayan termasuk tekong warga tempatan berada dalam keadaan selamat dan bantuan makanan dan minuman telah diberikan.
"Bot nelayan itu seterusnya merapat ke sebelah kapal ronda MN Johor dibantu bot PPM sambil menunggu bantuan sebuah lagi bot nelayan yang ditugaskan pemilik bot untuk ditunda," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, bot yang rosak itu ditunda ke Pontian Besar pada jam 3.15 petang dan operasi selesai kira-kira 45 minit kemudian.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada seluruh agensi dan pihak yang terlibat kerana bekerjasama dengan baik dalam operasi itu.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan peka dengan perkembangan laporan keadaan cuaca.
Katanya, komuniti maritim juga digalakkan untuk membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) yang berfungsi untuk menghantar isyarat kecemasan berserta lokasi terutamanya ketika berada di kawasan tiada capaian talian komunikasi.
Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh APMM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!